Bagaimanakah cara untuk memasak resepi ayam masak lemon yang sedap? Terdapat pelbagai menu atau sajian lauk pauk yang menjadi kegemaran suri rumah. Mungkin anda sudah bosan dengan masakan berkuah setiap hari di rumah. Jika ingin mencuba sesuatu kelainan, salah satu lauk yang boleh dicuba adalah ayam masak lemon. Artikel pada kali ini akan berkongsi tentang resepi ayam masak lemon yang menyelerakan.
Pengenalan
Resepi ayam masak lemon ini asalnya terkenal dikalangan masyarakat berbangsa cina. Namun, pada masa kini masakan ini digemari oleh ramai orang selain etnik cina. Masakan ayam masak lemon ini ‘special’ kerana ia menggabungkan rasa manis madu dan rasa masam lemon. Manu ini boleh dimakan bersama nasi putih, nasi ayam atau boleh juga dimakan begitu sahaja. Jika anda punyai anak kecil di rumah, hidangan ini tentu disukai mereka kerana ia tidak pedas dan manis.
Cara untuk memasak resepi ayam masak lemon adalah mudah. Bahan-bahan yang diperlukan juga tidak banyak. Mari kita pelajari cara untuk menyediakan ayam masak lemon ini di rumah untuk seisi keluarga.
Masa penyediaan: 15-20 minit
Jumlah Hidangan: 4 orang
Bahan-bahan Resepi Ayam Masak Lemon
Bahan-bahan untuk ayam perapan
- Setengah kilo ketul isi ayam dipotong dadu (seperti ayam popcorn)
- 1 sudu kicap manis
- 1 biji telur
- Sedikit lada hitam
- 1 sudu besar tepung jagung
- Garam
Bahan-bahan penyediaan kuah
- 1 biji lemon diambil jusnya
- Sedikit parutan kulit lemon
- 3 sudu besar madu
- 3 sudu besar gula putih
- 1 sudu besar mentega
- 1 sudu besar kicap cair
- Sedikit air
- Bijan untuk tabur
Bahan-bahan untuk salut isi ayam
- Setengah cawan tepung gandum
- Setengah cawan tepung jagung
Cara-Cara Penyediaan Resepi Ayam Masak Lemon.
Cara-Cara untuk penyediaan ayam
- Masukkan garam, kicap, serbuk lada hitam dan tepung jagung kedalam satu bekas dan gaul kesemuanya.
- Masukkan ayam yang telah dipotong kecil dan perap seketika.
- Masukkan tepung jagung dan tepung gandum ke dalam bekas yang lain.
- Salutkan ayam tadi dengan adunan tepung yang telah dibuat.
- Panaskan minyak dan boleh menggoreng ayam yang telah disalut tepung tadi sehingga garing atau kelihatan kekuningan.
Cara-cara untuk penyediaan kuah lemon
- Parutkan sedikit kulit lemon dan ketepikan.
- Perahkan lemon untuk ambil jusnya.
- Dalam periuk, panaskan gula putih sehingga cair dan berwarna perang.
- Kemudian masukkan suku cawan air dan mentega. Perlahankan sedikit api. Kacau rata sehingga sebati.
- Selepas itu, masukkan madu, kicap cair dan jus lemon. Masak sehingga kuah mereneh dan pekat. Tanda kuah pekat: ia menjadi berbuih. Jika kuah terlalu cair boleh masukkan lagi sedikit gula atau madu.
- Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng bersama parutan lemon. Gaul rata sehingga kuah menyaluti ayam.
- Tutup api, taburkan sedikit bijan dan siap untuk dihidangkan.
Tips Masakan:
- Untuk salut ayam boleh juga menggunakan tepung tempura yang boleh didapati di pasaraya. Jika pakai tepung tempura, bancuh tepung dengan air sejuk untuk mendapatkan tekstur ayam yang rangup di luar.
- Boleh tambah suhun goreng, letakkan ayam lemon diatas suhun goreng semasa menghidang.