Resepi kari daging

Resepi Kari Daging Penuh Nikmat

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi kari daging yang sedap? Pada artikel kali ini, penulis akan berkongsi resepi kari daging yang sedap, mudah dan lazat untuk semua pembaca. Resepi ini sesuai untuk dihidangkan bersama nasi putih, nasi beriani atau roti putih.

Pengenalan

Masakan kari adalah lazim dan sebati di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum. Walaupun terkenal sebagai hidangan istimewa masyarakat India, namun di Malaysia, hidangan kari telah menjadi pilihan dari pelbagai jenis etnik dan banyak kaedah diolah untuk menepati citarasa.

Hidangan kari boleh digandingkan dengan pelbagai pilihan lauk seperti daging, ayam, udang, sotong, telur dan sebagainya. Namun, jenis rempah kari yang digunakan perlulah bersesuaian dengan jenis lauk yang dipilih. Untuk masakan kari daging, selalunya terdapat jenis rempah untuk daging dan ayam di pasaraya yang boleh digunakan untuk memasak. Bahan-bahan lain yang diperlukan untuk memasak resepi kari daging tidaklah banyak. Mari kita cuba membuat kari daging yang enak ini di rumah untuk santapan seisi keluarga.

Masa memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan: 5 orang

Bahan untuk Resepi Kari Daging

Bahan-Bahan Asas:

  • 1kg daging lembu (saya gunakan daging batang pinang) dihiris
  • 3 biji kentang (dibelah 4)
  • 5 sudu besar rempah kari daging Adabi (dibuat pes dengan mencampurkan dengan sedikit air)
  • 4 biji bawang merah (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 2 inci halia (dikisar)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 2 biji pelaga
  • 2 tangkai daun kari
  • 1 biji tomato dibelah empat
  • 4 biji cili padi
  • 1 sudu kecil pes asam jawa
  • ½ kotak santan kotak kecil
  • Garam (secukup rasa)
  • minyak masak untuk menumis
  • 1 sudu besar minyak sapi

Bahan Yang Dihiris Nipis

  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

Cara Penyediaan Resepi Kari Daging

  1. Panaskan minyak masak bersama 1 sudu minyak sapi dalam periuk di atas api yang sederhana.
  2. Seterusnya, tumiskan hirisan bawang, hirisan halia, kulit kayu manis, bunga lawang dan pelaga sehingga naik bau.
  3. Kemudian, masukkan bawang dan halia yang telah dikisar bersama daun kari dan tomato. Kacau rata sehingga bawang layu dan sedikit kekuningan.
  4. Masukkan pes serbuk kari yang telah disediakan tadi dan gaul rata. Masukkan air sedikit demi sedikit dan kacau sehingga pes kari pecah minyak dan sedikit gelap.
  5. Masukkan daging yang telah dihiris tadi bersama dengan kentang. Gaul rata semua.
  6. Selepas itu, masukkan air secukupnya separas daging dan kentang. Kemudian masukkan juga pes asam jawa. Tak perlu terlalu banyak air. Perlahankan sedikit api dan biarkan ia mereneh. Kacau-kacau kari sekali sekala.
  7. Apabila daging dan kentang sudah empuk, tambahkan santan dan garam secukupnya.
  8. Kacau perlahan-lahan dan kemudian masukkan cili padi. Gaul rata dan tutup api. Kari daging anda sedia untuk dihidang.

Tips Berguna

  • Tambahan sedikit minyak sapi semasa menumis akan menjadikan kari lebih wangi.
  • Boleh juga perapkan dahulu hirisan daging bersama sedikit serbuk kari dan bawang serta halia kisar.
  • Hiris daging melintang ira daging supaya daging lebih empuk dan tidak liat.
  • Untuk penggunaan bahagian daging selain batang pinang, dinasihatkan untuk merebus dahulu daging tersebut ataupun gunakan ‘pressure cooker’. Air rebusan daging boleh digunakan untuk kuah kari.
  • Untuk tips melembutkan daging, potong sebiji nanas dan ambil bahagian empulurnya, Kisarkan bahagian empulur tersebut dan lumurkan di atas permukaan daging. Tinggalkan semalaman. Empulur nenas kaya dengan enzim yang dikenali sebagai bromelin. Enzim inilah yang berfungsi untuk melembutkan daging anda.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + 17 =