resepi bihun sup tulang

Resepi Bihun Sup Tulang Kesukaan Ramai

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi bihun sup tulang yang sedap? Pada kali ini, saya akan berkongsi dengan anda tentang satu resepi yang menjadi kesukaan ramai terutamanya di negeri-negeri utara tanah air iaitu bihun sup tulang. Bihun sup tulang ini merupakan bihun yang dihidangkan bersama sup tulang lembu yang dimasak bersama rempah ratus.

Hidangan ini boleh dimakan pada bila-bila masa. Ia boleh dijadikan hidangan untuk tetamu atau dalam majlis-majlis kecil. Resepi ini mudah untuk disediakan namun hasilnya pasti menambat selera sesiapa sahaja. Mari kita cuba membuat resepi ini di rumah. 

Pengenalan

Bihun sup tulang ini punyai keistimewaan rasanya yang tersendiri. Rasa manis sup dapat dirasa dengan adanya campuran tulang lembu dalam masakan. Mungkin ia seakan sama dengan bihun sup ayam, namun apa yang anda perlu tahu adalah rempah yang digunakan bagi kedua-dua masakan ini adalah berbeza.

Bihun sup tulang juga lebih enak jika dimakan bersama sambal kicap. Menu ini juga perlu dihidangkan panas. Anda juga boleh menghirup sup tulang sahaja jika suka tanpa meletakkan bihun. Selain bihun, anda boleh gantikan dengan nasi putih, mee kuning atau kueteow. Oleh itu, di sini saya akan kongsikan dengan anda resepi bihun sup tulang seperti di bawah.

Masa Memasak: 1 jam 15 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Bihun Sup Tulang

Bahan kuah sup tulang

  • 1 kg tulang (dibasuh bersih dan direbus) Boleh juga tambahkan bahagian isi bersama lemak atau urat
  • 2 biji bawang besar atau bawang holland (dikisar)
  • 6 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 inci halia (dikisar)
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis (dikisar sekali)
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam
  • Rempah 4 sekawan (kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pala)
  • Buah keras (dikisar)
  • Biji ketumbar (dikisar)
  • 1 mangkuk besar air rebusan tulang
  • 1 batang lobak merah (dipotong bulat)
  • Batang saderi (dipotong)
  • 2 kiub pati lembu
  • Garam dan serbuk perasa (secukup rasa)
  • Sedikit minyak (untuk menumis)
  • Bawang goreng
  • Daun sup (dihiris)
  • 1 bungkus bihun (direndam 30 minit & dicelur)

Bahan sambal kicap

  • 8 tangkai cili padi
  • 5 tangkai cili api merah
  • 1 tangkai cili besar merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 4 sudu besar cuka makan
  • 7 sudu besar kicap manis
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara- Cara Menyediakan Resepi Bihun Sup Tulang

  1. Celur bihun dan ketepikan sebentar.
  2. Di dalam periuk tekanan, masukkan tulang lembu yang telah dibersihkan. Rebuskan tulang lembu selama 20 minit di dalam periuk tekanan. Jika tiada periuk tekanan, anda boleh rebuskan tulang dengan kadar masa yang lebih lama.
  3. Di dalam periuk yang berasingan, tumiskan rempah 4 sekawan berserta bahan kisar seperti bawang besar, bawang putih, halia, biji ketumbar, serbuk jintan manis, buah keras dan serbuk lada hitam. Tumiskan sehingga pecah minyak dan naik bau.
  4. Kemudian, masukkan tulang lembu yang telah direbus dan gaulkan sebati.
  5. Selepas itu, masukkan juga air rebusan daging dan sedikit air masak.
  6. Masukkan pula kiub pati lembu, garam dan serbuk perasa secukup rasa.
  7. Masukkan lobak merah dan batang saderi.
  8. Renehkan kuah sehingga semua sebati dan cukup rasa. Sesuaikan rasa mengikut selera masing-masing.
  9. Dalam masa yang sama, sediakan sambal kicap dengan memasukkan bawang putih, cili padi, cili api, cili besar, garam, gula dan kicap. Kisarkan sehingga halus.
  10. Kemudian, masak seketika di dalam kuali.
  11. Apabila semua telah siap, bolehlah dihidangkan. Dan hiaskan bersama dengan bawang goreng dan daun sup.
  12. Selamat mencuba.

Tips Berguna

  • Untuk sambal kicap yang lebih tahan lama, masak seketika sambal kicap di atas dapur api.
  • Boleh tambahkan sedikit serbuk kunyit semasa mencelur bihun untuk memberikan warna kuning kepada bihun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × two =