resepi bihun goreng tomyam

Resepi Bihun Goreng TomYam Memikat Selera

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi bihun goreng tomyam yang sedap? Pada kali ini saya akan berkongsi dengan anda tentang satu resepi yang mudah dan ia sering mendapat permintaan ramai di kedai masakan panas iaitu bihun goreng tomyam. Menu ini sangat sesuai dimasak untuk makan pagi atau makan malam. Selain itu, ia juga sangat enak jika dimakan bersama telur mata goreng. Resepi ini sangat mudah dan sesuai untuk dicuba di rumah. 

Pengenalan

Bihun goreng tomyam adalah sejenis menu masakan yang memerlukan bahan-bahan yang seakan sama untuk memasak nasi goreng tom yam. Menu ini mempunyai rasa masam, manis, masin dan pedas. Yang istimewa adalah hidangan ini mempunyai aroma masakan tomyam terutamanya bau daun limau purut yang wangi. Anda boleh mencuba untuk menghasilkannya sendiri di rumah dengan menggunakan resepi yang mudah ini. Oleh itu, saya akan kongsikan dengan anda resepi bihun goreng tomyam seperti di bawah.

Masa Memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan: 4-5 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Bihun Goreng TomYam

  • Sedikit minyak masak (untuk menumis)
  • 1 bungkus bihun (direndam dalam air)
  • 3-4 ulas bawang putih (diketuk atau dicincang halus)
  • 1 biji bawang besar bersaiz besar (dipotong atau dimayang)
  • 3 sudu besar cili kering kisar (mengikut tahap kepedasan yang diinginkan)
  • 1 batang serai (dititik)
  • 2 sudu besar pes tom yam
  • Segenggam isi ayam (dipotong dan dibersihkan)
  • Sedikit makanan laut (udang atau sotong jika perlu)
  • 4-5 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 1 batang lobak merah (dihiris nipis)
  • 1-2 sudu besar kicap sotong
  • 3-4 helai daun limau purut
  • 5-6 tangkai cili padi (diketuk atau dihiris)
  • Air masak secukupnya
  • Garam, gula dan serbuk perasa (secukup rasa)

Cara- Cara Menyediakan Resepi Bihun Goreng TomYam

  1. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak. Tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga kelayuan dan naik bau.
  2. Kemudian, masukkan cili kering kisar bersama pes tom yam dan serai. Masak sehingga terbit minyak.
  3. Selepas itu, masukkan ayam dan masak sehingga ayam masak dan kering.
  4. Masukkan pula air masak secukupnya. Diikuti juga dengan memasukkan sos cili, sos tiram dan kicap manis. Gaulkan sehingga sebati.
  5. Masukkan makanan laut seperti sotong dan udang jika anda mahu berserta lobak merah. Masak sehingga kuah sedikit menggelegak.
  6. Kemudian, masukkan bihun yang telah direndam dan ditoskan. Masukkan juga daun limau purut berserta cili padi, garam, gula dan serbuk perasa secukupnya. Begitu juga dengan sedikit kicap sotong.
  7. Kacau sehingga semua bahan sekata. Masak sehingga bihun lembut dan kering.
  8. Bihun goreng telah pun siap dan boleh dihidangkan.
  9. Selamat mencuba.

Tips Berguna

  • Rendam bihun di dalam air paip yang bersuhu bilik dan bukan air panas bagi mengelakkan bihun telah digoreng itu menjadi tekstur lembik dan mudah basi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six − two =