resepi mee celup

Resepi Mee Celup Kelantan Sedap Molek

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi mee celup Kelantan yang sedap? Pada artikel kali ini saya akan berkongsi dengan anda tentang satu resepi masakan Kelantan-Siam yang sangat popular di kedai masakan kelantan mahupun restoran siam iaitu mee celup Kelantan. Rasa masakan ini pedas-pedas dan masam serta sangat enak dimakan ketika masih panas. Oleh itu, saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan mee celup Kelantan yang lazat dan mudah. 

Pengenalan

Mee celup kelantan ini sebenarnya amat mudah untuk disediakan cuma ia memerlukan sedikit masa untuk disediakan kerana mempunyai pelbagai bahan sampingan untuk melengkapi menu ini. Selain itu, bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan resepi ini juga amat mudah untuk didapati. Saya jamin, walaupun ia kelihatan rumit, namun hasilnya pasti tidak akan mengecewakan. Ia membuatkan anda bertambah banyak kali. Oleh itu, saya akan kongsikan bersama anda resepi mee celup kelantan seperti di bawah. Jom kita cuba!

Masa Memasak: 1 jam

Jumlah Hidangan: 5 orang

Bahan-Bahan Untuk Resepi Mee Celup Kelantan

Bahan-bahan untuk kuah

  • 2 biji bawang besar (dihiris nipis)
  • 5-6 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 1 inci halia (dihiris nipis)
  • 1 inci lengkuas (dihiris atau diketuk)
  • 1 akar daun ketumbar (dibasuh bersih)
  • 4 sudu besar rempah sup atau 2 paket sup bunjut adabi
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 5 sudu besar stok ayam
  • 1/2 ekor ayam
  • Rempah 3 sekawan (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih)
  • 3 sudu besar sos tiram
  • Garam dan serbuk perasa (secukup rasa)

Bahan-bahan sambal lada

  • 10 tangkai cili api merah
  • 3 sudu besar cuka makan
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam

Bahan-bahan lada jeruk

  • 7 tangkai lada besar hijau (dipotong)
  • 1/2 mangkuk air masak
  • 1/2 mangkuk cuka
  • 2 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam

Bahan-bahan minyak bawang putih

  • 10 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1 mangkuk minyak masak

Bahan-bahan lain

  • 2 bungkus mee kuning (dibasuh bersih dan dicelur seketika)
  • Daun sup (dipotong)
  • Sedikit bawang goreng
  • 1 genggam tauge (dicelur)
  • 2 biji limau nipis (dihiris)
  • Lobak asin (dicelur dan dipotong)
  • Sayur sawi atau kangkung (dicelur)

Cara- Cara Menyediakan Mee Celup Kelantan

  1. Di dalam periuk, rebuskan ayam dan masukkan akar daun ketumbar.
  2. Panaskan kuali berasingan dan tumiskan bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, rempah 3 sekawan, rempah sup atau sup bunjut. Masak sehingga kelayuan dan naik bau.
  3. Kemudian, masukkan bahan tumisan ke dalam periuk yang berisi ayam yang direbus. Masukkan sekali garam, gula dan serbuk perasa secukup rasa.
  4. Selepas itu, masukkan sos tiram dan kicap pekat. Renehkan kuah seketika dan biarkan.
  5. Sementara itu, sediakan sambal lada. Masukkan cili api merah, cuka, garam dan gula ke dalam pengisar kering. Kisarkan kasar sambal lada. Ketepikan sekejap.
  6. Seterusnya, sediakan lada jeruk dengan memasukkan lada besar hijau, cuka, garam, gula dan air masak ke dalam bekas kedap udara. Tutup dan biarkan seketika.
  7. Selepas itu, sediakan minyak bawang putih dengan panaskan kuali dan tuangkan minyak. Apabila minyak sudah panas, masukkan bawang putih yang telah dincincang. Kacau sehingga bawang putih sedikit kekuningan. Masukkan ke dalam bekas dan ketepikan.
  8. Celur bahan-bahan lain seperti mee kuning, tauge, lobak asin, kangkung atau sawi. Angkat dan toskan. Susun elok-elok di dalam bekas.
  9. Potong daun sup dan masukkan ke dalam bekas.
  10. Untuk hidangkan nanti, masukkan bahan-bahan yang telah dicelur. Taburkan daun sup, bawang goreng dan hirisan limau nipis. Masukkan sup bersama ayam dan letakkan sambal lada, lada jeruk dan minyak bawang putih. Sedia untuk dimakan.
  11. Selamat mencuba.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × three =