Resepi Dalca Daging

Resepi Dalca Daging Sedap

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi dalca daging yang sedap? Resepi kali ini penulis ingin mengajak anda mempelajari resepi dalca daging. Biasanya kita akan jumpa lauk dalca daging di majlis-majlis seperti majlis perkahwinan atau majlis keraian lain. Dalca daging ini sangat sesuai dimakan bersama nasi beraroma seperti nasi minyak atau nasi tomato. Lauk dalca daging sesuai dihidang bersama keropok papadom, sambal belacan dan ikan kering masin.

Pengenalan

Resepi dalca daging menggunakan kacang dhal sebagai bahan utama. Kacang dhal ini perlulah direndam dahulu sebelum direbus untuk melembutkan teksturnya. Sekiranya anda mempunyai pressure cooker, anda boleh juga menggunakannya untuk melembutkan kacang dhal.

Kali ini kita akan belajar resepi dalca daging. Anda boleh membuatnya dirumah untuk menjamu ahli keluarga walaupun tidak dapat menikmatinya di kenduri. Mari kita mulakan resepi ini. Semoga berjaya.

Bahan-Bahan untuk Resepi Dalca Daging

  • 350 gram daging lembu
  • 3 sudu besar rempah kari daging
  • 2 cawan santan cair
  • 2 cawan santan pekat
  • 150 gram kacang dhal
  • 3 biji kentang
  • 2 biji cili hijau
  • 4 batang kacang panjang
  • 4 biji terung bulat
  • 1 biji tomato,
  • 1 biji karot
  • 2 tangkai daun kari

Bahan untuk kisar halus:

  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 biji bawang besar

Bahan untuk rempah tumis:

  • 1 batang kayu manis
  • 2 biji bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga

Cara-Cara Memasak Resepi Dalca Daging

  • Rendam kacang dhal dalam 1-2 jam.
  • Kupas kulit kentang dan potong dadu atau baji. Basuh bersih dan ketepikan.
  • Potongkan buah tomato 4 bahagian. Basuh bersih dan ketepikan.
  • Potong terung menyerong tebal. Basuh bersih dan ketepikan.
  • Potong memanjang karot dan kacang panjang anggaran 1.5 inchi. Basuh bersih dan ketepikan.
  • Selepas merendam kacang dhal, ia perlu dibersihkan dan direbus sehingga lembut. Boleh gunakan pressure cooker untuk melembutkannya.
  • Guna periuk yang lain, masukkan daging yang dicuci bersih dan rebus daging sehingga lembut. Keluarkan dan biarkan sejuk seketika.
  • Hiris kecil-kecil daging yang direbus. Air rebusan jangan dibuang kerana kita akan menggunakannya dalam masakan dalca.
  • Masukkan minyak ke dalam kuali, kemudian masukkan bahan tumis yang dikisar halus , daun kari dan bahan rempah tumis. Kacau dan biarkan sehingga naik bau wangi.
  • Masukkan pula rempah kari. Kacau dan biarkan masak sehingga pecah minyak.
  • Kemudian masukkan daging yang siap dihiris, air rebusan, kentang, cili hijau, kacang dalca empuk, karot, asam keping dan santan cair. Kacau agar sebati semua adunan dan masak sehingga kesemua sayur empuk.
  • Kemudian masukkan pula santan pekat, buah tomato dan terung ke dalam periuk. Kacau lagi agar sekata dan biarkan ia masak.
  • Letakkan garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi dan tambah sedikit air. Biarkan sekejap.
  • Angkat  dan boleh dihidangkan.

Tips Berguna:

  • Gunakan daging bahagian batang pinang atau tetel untuk lebih lembut.
  • Pastikan api dapur sederhana untuk mengelakkan kuah menjadi terlalu pekat atau kacang terlalu hancur.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × four =