Kalau anda tercari resepi yang ringkas tapi sedap, kali ini kami daripada The Resepi ingin berkongsikan dengan anda dengan satu resepi yang mudah, iaitu resepi ikan bilis goreng kicap cili padi.
Resepi mudah yang mana bahan bahannya senang untuk anda sediakan dan masa yang diambil untuk menyiapkannya juga tidak begitu lama, jadi ianya satu hidangan yang tepat sekiranya anda kesuntukan masa ataupun idea untuk memasak hari itu, jadi ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui tentang resepi yang lazat ini.
Pengenalan
Ikan bilis goreng kicap cili padi ini sama juga seperti sambal ikan bilis, ia merupakan satu hidangan ringkas yang kadangkala menjadi pilihan keluarga di Malaysia kerana ianya amat mudah untuk disediakan. Ikan bilis rangup yang lengkap dengan rasa manis, masin dan pedas pedas ini kadangkala menjadi menu utama golongan bujang, bak kata orang menu menunggu gaji.
Apa pun, hidangan ini jika terhidang, memang akan bertambah nasi jika anda makan bersamanya. Jadi tanpa banyak membuang masa lagi, mari kita lihat cara untuk menyediakan ikan bilis goreng kicap cili padi ini.
Masa penyediaan : 10 minit
Masa memasak : 5 minit
Jumlah Hidangan : 4-5 orang
Bahan-bahan Resepi Ikan Bilis Goreng Kicap Cili Padi
- Minyak masak
- 1 mangkuk besar ikan bilis
- 1 sudu besar cili kisar
- 1 biji bawang besar yang sudah dihiris nipis
- 7 – 8 biji cili padi yang sudah dihiris nipis
- Kicap manis
- Limau nipis
Cara penyediaan Resepi Ikan Bilis Goreng Kicap Cili Padi
- Panaskan minyak
- Bersihkan dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan sebentar
- Buang sedikit minyak gorengan
- Tinggalkan dalam anggaran 4 hingga 5 sudu minyak
- Tumis cili kisar menggunakan minyak tadi
- Tumis hingga naik bau dan pecah minyak
- Masukkan bawang besar dan cili padi serta kacau hingga layu
- Masukkan pula ikan bilis tadi dan kicap manis
- Angkat dan siap untuk dihidangkan
Penambahan dan Tips Ringkas
- Kurangkan untuk guna kicap secara berlebihan sehingga menyebabkan hidangan menjadi terlalu berkuah dan menyebabkan ikan bilis menjadi lembik
- Hidangan lebih enak sekiranya kuah tersebut cukup cukup menyaluti ikan bilis tersebut
- Jika mahu hidangan lebih pedas, anda boleh menambah bilangan cili padi. Semuanya mengikut tahap kepedasan yang anda inginkan
- Bawang besar tidak perlu dikacau lama supaya ianya lebih rangup apabila di makan nanti.
- Hidangan ini juga enak dimakan bersama sama dengan roti ataupun dengan bubur.
Selamat mencuba dan menjamu selera