resepi kari ikan bawal

Resepi Kari Ikan Bawal yang Sedap dan Mudah

Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi kari ikan bawal yang sedap dan mudah untuk disediakan? Kari ikan bawal merupakan menu lauk-pauk yang sedap dan menjadi pilihan untuk makanan tengah hari. Tambahan pula, dimakan bersama nasi putih panas, telur dadar dan ulaman.

Apabila sebut kari ikan, pasti teringat kari ikan mamak yang pekat dan sedap. Kari ikan bawal juga terdapat pelbagai jenis cara penyediaannya iaitu ada yang meletakkan santan ke dalam kuah dan ada juga yang tidak meletakkan santan. Terpulang kepada citarasa masing-masing.

Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan kari ikan bawal yang sedap dan mudah.

Pengenalan

Kari ikan bawal sama sahaja dengan cara penyediaan kari ikan yang lain. Selain menggunakan ikan bawal, boleh juga untuk menggunakan ikan merah, ikan kembung, ikan tenggiri dan sebagainya. Manakala, ikan bawal pula terdapat dua jenis iaitu bawal hitam dan bawal emas.

Bawal hitam isinya agak nipis dan sesuai untuk dimasak sweet sour atau goreng manakala bawal emas isinya agak tebal dan sesuai dimasak kari atau kicap. Tetapi, kedua-dua jenis bawal itu tiada masalah untuk digunakan dalam masakan kari. Terpulang kepada selera masing-masing. Kali ini mari kita cuba resepi kari ikan bawal cara saya seperti di bawah.

Masa Memasak: 45 minit

Jumlah Hidangan: 3-4 orang

Bahan-bahan Masakan Kari Ikan Bawal

  • 2 ekor ikan bawal (bersaiz sederhana besar & dipotong 2 atau 3)
  • 5 biji bawang merah (dimayang halus)
  • 5 ulas bawang putih (dimayang halus)
  • 1 inci halia (dimayang halus)
  • 1 sudu besar halba campur
  • 1 batang kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 tangkai daun kari
  • 6 sudu besar serbuk kari ikan (masukkan air, jadikan pes)
  • 3 sudu besar serbuk cili (campurkan sekali dengan serbuk kari dan jadikan pes)
  • 1 sudu kecil lada kering kisar (jikalau inginkan rasa yang pedas, boleh tambah. Pilihan sahaja)
  • 1 kotak kecil santan
  • 1 mangkuk air asam jawa
  • 1 biji tomato (dipotong 6)
  • 10 batang bendi
  • Garam dan serbuk perasa (secukup rasa)
  • Minyak secukupnya

Cara-cara memasak kari ikan bawal

  1. Siang ikan bawal dan dibersihkan. Potong ikan bawal kepada 3 bahagian.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan  mayang seperti bawang merah, bawang putih dan halia. Masukkan halba campur, kayu manis dan bunga lawang diikuti dengan daun kari. Masak seketika sehingga naik bau dan kekuningan.
  3. Masukkan cili kering kisar dan bancuhan pes rempah kari dan serbuk cili. Masak sehingga rempah masak dan pecah minyak. Tambahkab sedikit air bagi mengelakkan rempah hangit dan menjadi pahit.
  4. Kemudian, masukkan air asam jawa diikuti dengan santan dan sedikit air. Masak seketika kuah kari.
  5. Seterusnya, masukkan sedikit garam dan serbuk perasa secukup rasa.
  6. Masukkan ikan dan masak sehingga ikan masak.
  7. Kemudian, masukkan tomato dan bendi sehingga kuah masak dan mendidih.
  8. Bolehlah hidangkan bersama nasi putih panas. Selamat mencuba

Tips berguna:

  • Semasa ikan dimasukkan ke dalam periuk, jangan kerap kacau kerana nanti ikan akan hancur. Kacau perlahan-lahan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × 1 =