resepi kuey teow hailam

Resepi Kuey Teow Hailam Ringkas dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi kuey teow hailam yang ringkas dan sedap? Kuey teow hailam amat mudah untuk didapati di kedai makan yang menyediakan masakan panas. Kuey teow hailam juga hampir sama dengan resepi mee hailam. Tahap kesedapan kuey teow hailam juga terletak kepada kuahnya yang pekat, berwarna sedikit gelap dan sedap.

Ayuh, mari kita mulakan. Artikel ini akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan kuey teow hailam yang ringkas dan sedap.

Pengenalan

Kuey teow hailam juga hampir sama penyediaannya dengan mee hailam. Kuey teow hailam amat sesuai dihidangkan jika stok mee kuning sudah habis ataupun anda kurang menggemari mee kuning. Jika menggunakan kuey teow, terdapat sedikit pengolahan resepi penyediaan berbanding jika menggunakan mee kuning.

Tapi, tidak menjadi kesalahan juga jika anda ingin menggunakan resepi yang sama dengan resepi mee hailam dan hanya menggantikan mee kuning kepada kuey teow. Terpulang atas citarasa masing-masing. Mari kita cuba resepi kuey teow hailam seperti di bawah.

Masa Memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan: 4-5 orang

Bahan untuk Resepi Kuey Teow Hailam

Bahan-bahan Asas

  • 1 paket kuey teow
  • ½ sudu kecil minyak bijan
  • Air secukupnya untuk mencelur kuey teow

Bahan-bahan Lain

  • Sedikit minyak untuk menumis
  • 4 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Kicap manis (secukupnya sehingga kuah berwarna gelap)
  • 1 sudu kecil kicap pekat (menambahkan lagi warna yang sedikit gelap)
  • 3 biji bawang merah (dihiris nipis)
  • 3 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 1 sudu besar lada kering kisar
  • 4 tangkai cili padi (diketuk atau dihiris nipis)
  • 1 sudu kecil serbuk lada sulah atau serbuk lada hitam
  • Segenggam isi ayam (dibasuh bersih dan dipotong kecil)
  • 5 ekor udang (dibasuh bersih)
  • 2 ekor sotong (dibasuh bersih dan dipotong bulat)
  • 2 keping fishcake (dipotong nipis)
  • 1/2 batang lobak merah (dipotong nipis)
  • 1 ikat sayur sawi (dipotong dan dibasuh bersih)
  • 1 biji tomato (dipotong kepada 8 bahagian)
  • 1 sudu besar tepung jagung (dibancuh bersama sedikit air)
  • Garam, gula dan serbuk perasa (secukup rasa)
  • 1 kiub stok ayam
  • Air secukupnya (anggaran 3 cawan)

Cara Memasak Resepi Kuey Teow Hailam

  1. Panaskan air di dalam kuali sehingga mendidih. Masukkan kuey teow yang telah dibasuh bersih dan ½ sudu kecil minyak bijan. Celur dalam anggaran 3-4 minit. Angkat, toskan dan masukkan ke dalam mangkuk untuk dihidangkan Bersama kuah sebentar lagi.
  2. Untuk penyediaan kuah pula, panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang putih, bawang merah, sehingga naik bau dan sedikit kekuningan.
  3. Masukkan lada kering dan masakkan sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan isi ayam dan serbuk lada sulah, masak seketika sehingga isi ayam sedikit kering. Diikuti dengan lobak merah dan batang sawi, masak sehingga kelayuan.
  5. Masukkan air secukupnya, cili padi, sos cili, sos tiram, kicap manis, kicap pekat, udang, stok ayam, garam dan gula secukup rasa. Renehkan kuah seketika.
  6. Masukkan bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit mengikut kepekatan masing-masing. Diikuti dengan masukkan sotong, fish cake, daun sawi dan tomato. Gaul sebati semua bahan.
  7. Apabila semua bahan sudah sebati dan rasa sudah seimbang, bolehlah tuangkan kuah ke dalam mangkuk yang berisi kuey teow yang telah dicelur Bersama dengan bawang goreng dan limau kasturi. Mudah bukan?
  8. Selamat mencuba.

Tips berguna

  • Jangan celur kuey teow terlalu lama kerana nanti kuey teow akan menjadi terlalu lembik dan tidak sedap. Jangan juga campurkan kuey teow ke dalam kuah seperti mee hailam kerana kuey teow akan menjadi kembang dan terlalu lembik.

Selamat mencuba

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × 5 =