Bagaimanakah cara untuk menghasilkan kuih bahulu yang gebu dan sedap untuk disediakan? Kuih bahulu betul-betul menggamit memori dan kenangan dan pasti anda mempunyai memori tersendiri dengan kuih bahulu ini. Hal ini kerana kuih bahulu ini merupakan kuih tradisional yang sangat popular dan sudah menjadi turun temurun.
Kalau pada zaman dahulu, kuih bahulu ini dimasak dan dibakar dengan menggunakan sabut kelapa. Namun, pada zaman sekarang, orang membakar kuih bahulu dengan menggunakan ketuhar. Tetapi, tidak hairan jikalau ada yang masih menggunakan sabut kelapa untuk membakar kuih bahulu ini selain menggunakan ketuhar kerana inginkan aroma sabut kelapa tersebut. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan kuih bahulu yang gebu dan sedap.
Pengenalan
Kuih Bahulu ini mempunyai rasa yang manis dan berbentuk seperti bunga. Ia mempunyai tekstur yang agak rangup di luar dan gebu di dalam dan berwarna kuning keperangan. Kuih ini juga sangat sedap jikalau dimakan ketika panas. Tetapi kebanyakan yang kita jumpai adalah kuih bahulu yang telah siap dibungkus dan dijual. Oleh itu, sudah tidak panas. Jadi, anda boleh hasilkan sendiri kuih bahulu dan makan ketika ia tengah panas dan cuba nikmati kuih bahulu ini bersama kopi panas ketika minum petang. Cara untuk menghasilkan kuih bahulu ini juga amat mudah dan anda boleh cuba di rumah. Mari kita cuba resepi kuih bahulu yang gebu dan sedap ini.
Masa Memasak: 40 minit
Jumlah Hidangan: 5-6 orang
Bahan-Bahan untuk Resepi Kuih Bahulu
- 1 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan gula putih
- 5 biji telur
- 1 sudu kecil esen vanila
Cara- Cara memasak Resepi Kuih Bahulu
- Mula-mula sekali, masukkan telur dan gula putih. Pukul bahan-bahan tersebut sehingga kembang pekat untuk selama lebih kurang 5 minit.
- Kemudian, masukkan pula tepung gandum sedikit demi sedikit. Setelah itu, sambung pukul lagi untuk selama lebih kurang 3 minit sehingga sebati dan sekata.
- Kemudian, masukkan esen vanila dan gaul sebati dengan hanya menggunakan spatula.
- Sementara itu, panaskan ketuhar dan juga acuan pada suhu 200oC selama lebih kurang 10 minit. Acuan perlu dipanaskan seketika agar doh adunan bahulu tidak melekat pada acuan kita.
- Kemudian, hati-hati ketika keluarkan acuan dari ketuhar. Pastikan anda memakai sarung tangan penebat haba yang tebal. Sapukan minyak sedikit pada acuan diikuti dengan dituangkan adunan ke dalam acuan sehingga penuh.
- Masukkan acuan yang berisi adunan bahulu ke dalam ketuhar yang telah panas dan bakar adunan pada suhu 200oC untuk selama 12 minit sehingga bahulu masak keperangan. Bakar menggunakan teknik api atas bawah.
- Apabila kuih bahulu sudah siap dibakar, keluarkan bahulu dan sejukkan seketika.
- Kemudian, ulangi sehingga adunan habis dengan sapukan minyak pada acuan, tuangkan adunan dan bakar.
- Akhir sekali, sedia untuk dihidangkan kepada tetamu ataupun untuk minum petang anda. Anda juga boleh simpan bahulu di dalam bekas kedap udara untuk tahan lebih lama.
- Selamat mencuba resepi ini.