Resepi kuih cek molek

Resepi Kuih Cek Mek Molek yang Sedap dan Gebu

Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi kuih cek mek molek yang sedap dan gebu untuk disediakan? Kuih cek mek molek merupakan kuih tradisional dari Kelantan yang mempunyai rasa yang manis dan mirip seakan kuih keria. Yang membezakan mereka adalah kuih cek mek molek mempunyai gula di dalam manakala kuih keria mempunyai salutan gula di luar.

Kuih cek mek molek berasal daripada ubi keledek manis yang berwarna oren dan diadun bersama tepung gandum dan mempunyai gula sebagai inti. Inti gula akan mencair apabila digoreng. Kesedapan kuih cek mek molek bergantung kepada kualiti ubi keledek yang digunakan.

Jikalau ubi keledek yang digunakan mempunyai rasa lemak manis maka sedaplah kuih cek mek molek kita. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan kuih lopes tradisional yang sedap.

Pengenalan

Kuih cek mek molek merupakan kuih tradisional yang manis dan sangat popular di Kelantan. Disebabkan bentuknya yang bujur, licin dan molek, maka ia mendapat nama sebagai kuih cek mek molek. Cara penyediaan kuih ini juga amat mudah dengan hanya menggunakan bahan yang sedikit dan mudah untuk didapati.

Kuih ini lagi enak apabila dimakan semasa panas kerana rasa rangup di luar, gebu di dalam dan rasa manis gula yang mencair. Sesuai untuk dijadikan menu sarapan pagi mahupun minum petang. Mari kita cuba resepi kuih cek mek molek seperti di bawah.

Masa Memasak: 60 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-bahan Resepi Kuih Cek Mek Molek

  • 8 biji ubi keledek oren bersaiz sederhana besar
  • 2 cawan tepung gandum
  • Gula pasir (sebagai inti dan mengikut citarasa masing-masing)
  • 2 sudu kecil serbuk penaik
  • Minyak secukupnya

Cara-cara Memasak Kuih Cek Mek Molek

  1. Kupas kulit ubi keledek, basuh bersih dan potong menjadi saiz kecil agar ia tidak mengambil masa yang lama untuk empuk.
  2. Panaskan air di dalam periuk sehingga menggelegak dan masukkan sedikit garam.
  3. Masukkan ubi keledek yang telah dipotong ke dalam periuk.
  4. Rebuskan ubi keledek sehingga empuk.
  5. Kemudian, lenyekkan ubi keledek sehingga halus menggunakan batu lesung.
  6. Masukkan tepung gandum dan serbuk penaik ke dalam ubi keledek yang telah dilenyekkan.
  7. Kemudian, uli sehingga adunan tidak melekat pada tangan.
  8. Letakkan sedikit minyak pada tangan sebelum membentuk doh agar doh tidak melekat pada tangan. Bentukkan doh membulat dan picit bahagian tengah. Kemudian, letakkan gula ikut citarasa masing-masing. Bentukkan sehingga menjadi bujur.
  9. Panaskan kuali yang berisi minyak yang banyak sehingga panas. Kemudian, gorengkan cek mek molek dalam api yang sederhana sehingga keperangan. Selamat mencuba. Bolehlah makan untuk sarapan pagi atau minum petang.

Tips berguna:

  • Untuk memilih ubi keledek yang manis, pilihlah yang mempunyai permukaan yang sekata dan mulus. Ubi keledek yang mempunyai permukaan yang tidak rata dan mempunyai sedikit torehan adalah tidak enak kerana isinya telah dimasuki angin dan terasa hambar.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 2 =