Resepi lontong kuah lodeh

Resepi Lontong Kuah Lodeh yang Enak untuk Dinikmati

Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi lontong kuah lodeh yang enak? Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda satu resepi istimewa yang berasal dari Johor iaitu lontong kuah lodeh. Masakan ini sesuai disediakan semasa jamuan dan pada hari raya.

Pengenalan

Lontong kuah lodeh merupakan satu hidangan yang terdiri daripada kuah lodeh, nasi impit, sambal ikan bilis atau sambal udang dan telur rebus. Namun, jika di Singapura, masakan ini ditambah dengan begedil.

Keenakan lontong kuah lodeh adalah terletak pada kuah lemaknya. Untuk jenis sayuran yang dalam kuah lodeh, anda bebas meletakkan pelbagai jenis sayuran seperti lobak merah, cendawan, terung, kacang panjang, sengkuang atau kobis. Ini menjadikan menu ini sebenarnya sangat berkhasiat dan kaya dengan serat.

Jadi, mari kita cuba pelajari cara membuat lontong kuah lodeh ini untuk hidangan di rumah.

Resepi lontong kuah lodeh

Masa penyediaan : 30 – 45 minit

Masa memasak : 30 minit

Jumlah Hidangan : 8 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Lontong Kuah Lodeh

Bahan untuk kuah lodeh :

  • 2 batang serai – dititik
  • 500g hingga 600g udang
  • 2 cawan santan
  • 1 batang lobak merah – dipotong panjang
  • 7 batang kacang panjang – dipotong
  • 2 bungkus tempe – dipotong kiub
  • 3 ketul tauhu kering – dipotong kiub
  • 1 paket suhun
  • 4 keping fucuk – direndam
  • Separuh Kobis bulat dihiris
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • Air secukupnya
  • Garam secukupnya

Bahan untuk dikisar halus :

  • 2 biji bawang besar
  • 2 inci kunyit hidup
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar udang kering

Bahan-bahan lain untuk dihidangkan bersama :

  • Nasi impit – direbus
  • Telur rebus
  • Sambal ikan bilis

Cara-cara memasak Resepi Lontong Kuah Lodeh

  1. Kisar bawang besar, kunyit hidup, bawang putih dan udang kering bersama sedikit air.
  2. Masukkan bahan kisar dalam periuk bersama dengan serai. Panaskan sehingga mereneh. Kemudian masukkan 1 jug air. Panaskan sehingga mereneh.
  3. Setelah mereneh, masukkan lobak merah dan kacang panjang.
  4. Kemudian, setelah lobak merah sudah lembut, masukkan pula udang.
  5. Seterusnya, masukkan tauhu goreng, tempeh, fucuk dan kobis.
  6. Kemudian, tuangkan pula santan. Kacau perlahan dengan api kecil.
  7. Masukkan serbuk kunyit. Boleh tambahkan sikit lagi serbuk kunyit jika warna kuah terlalu pucat.
  8. Setelah itu, masukkan suhun. Kacau perlahan seketika sehingga suhun lembut.
  9. Perasakan kuah dengan garam secukupnya. Setelah sedikit mereneh boleh tutup api.
  10. Kemudian, hidangkan kuah lodeh tadi bersama nasi impit, telur rebus, dan sambal ikan bilis.

Tips Masakan

  • Boleh juga anda gantikan santan segar dengan santan kotak.
  • Goreng tempeh terlebih dahulu sebelum masukkan ke dalam kuah supaya tempeh tidak hancur dan lebih sedap.
  • Dengan memasukkan udang, kuah menjadi lebih manis dan lazat.

Selamat mencuba resepi ini!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fifteen − 6 =