Resepi Siput Sedut Masak Lemak

Resepi Siput Sedut Masak Lemak Cili Api Sedap

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi siput sedut masak lemak cili api yang sedap? Menu masak lemak cili api merupakan menu yang popular dan digemari ramai bagi hidangan siput sedut. Selain menjadi lauk untuk nasi putih, siput sedut masak lemak cili api juga boleh diratah begitu sahaja.

Pengenalan

Siput sedut merupakan hidangan makanan laut yang tidak kurang popular dikalangan rakyat Malaysia. Terdapat pelbagai jenis masakan untuk siput sedut namun yang paling popular adalah siput sedut masak lemak cili api. Hidangan ini digemari ramai kerana selain dimakan bersama nasi, ia juga boleh diratah begitu sahaja. Kuah masak lemak cili api yang lengkap dengan rasa lemak, masam dan pedas membuatkan rasa siput sedut lebih enak dan lazat. Oleh sebab itulah ia sesuai diratah begitu sahaja.

Cara memasak resepi siput sedut masak lemak cili api adalah mudah sahaja. Namun demikian, proses pembersihan siput perlu dibuat dengan baik supaya kuah masak lemak nanti tidak terasa pahit selut dan berpasir. Selain itu, potongan pada pangkal siput juga perlu dibuat dengan berhati-hati supaya tidak sukar untuk menyedut siput semasa makan nanti. Jika anda hendak mengelakkan kesulitan proses menyiang siput sedut, anda boleh membeli siput sedut yang sudah siap disiang dan dibasuh. Mari kita pelajari cara-cara untuk memasak siput sedut masak lemak cili api yang istimewa ini.

Siput sedut masak lemak cili api

Bahan-Bahan Untuk Resepi Siput Sedut Masak Lemak Cili Api

  • 1 kilo siput sedut
  • 3 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 1/2 inci kunyit hidup
  • Segenggam cili api (ikut tahap kepedasan yang diingini)
  • 1 batang serai dititik
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 keping asam keping
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • Air secukupnya
  • garam dan gula secukupnya

Cara-Cara Memasak Resepi Siput Sedut Masak Lemak

  1. Bersih dan siang siput sedut serta toskan.
  2. Kisar atau tumbuk bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan cili api.
  3. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan serai ke dalam periuk. Panaskan tanpa minyak sehingga air sedikit kering.
  4. Kemudian masukkan 4 cawan air bersama 1 cawan santan ke dalam periuk.
  5. Masukkan asam keping dan serbuk kunyit dan tunggu sehingga kuah mereneh.
  6. Setelah itu masukkan siput sedut. Masak dalam 10-15 minit.
  7. Masukkan 1 cawan santan pekat, perasakan dengan garam dan gula.
  8. Kacau rata kesemuanya, kacau perlahan-lahan dengan api perlahan supaya santan tak pecah. Setelah sedikit mereneh boleh tutup api dan siap untuk dihidangkan.

Tips Masakan

  • Cuci bersih siput sedut supaya tidak menggangggu rasa kuah masak lemak cili api.
  • Jika tiada santan segar, boleh gunakan santan kotak.
  • Boleh tambahkan sedikit daun kunyit untuk lebih beraroma jika suka.
  • Boleh juga tambahkan sedikit ubi keladi yang dipotong baji dan juga batang keladi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen + fifteen =