Bagaimanakah cara untuk membuat resepi spagetti aglio olio yang sedap? Menu spagetti aglio olio merupakan menu yang berasaskan pasta yang digemari ramai. Ia juga sesuai untuk dihidangkan untuk makan tengah hari atau makan malam. Namun begitu, menu ini agak sedikit pedas dan kurang sesuai untuk golongan kanak-kanak. Tetapi, anda boleh sahaja mengolahnya dengan mengurangkan tahap kepedasan sesuai dengan keinginan anda.
Pengenalan
Spagetti aglio olio merupakan menu hidangan yang berasal dari Itali. Masakan ini terdiri daripada spageti yang dimasak bersama bahan-bahan utama iaitu minyak zaitun (olive oil), bawang putih, emping cili kering (chilli flakes) dan daun parsley.
Terdapat pelbagai versi masakan spagetti aglio olio ini. Resepi yang akan dikongsikan oleh penulis kali ini adalah versi sedikit masam dengan menggunakan perahan air lemon. Ini menjadikan hidangan menjadi cukup rasa dan kurang muak. Mari kita cuba buat resepi yang istimewa, senang dan sedap ini untuk seisi keluarga.
Bahan-Bahan Untuk Resepi Spagetti Aglio Olio
- 1 paket spageti (penulis pilih jenis angle hair)
- 1 labu bawang putih dicincang kasar
- Setengah kilogram udang
- 1 biji lemon diambil jusnya
- 8 biji tomato ceri dibelah dua
- 4 biji cendawan butang dihiris
- Segenggam daun parsley
- 2 sudu besar serbuk keju parmesan
- Serbuk lada putih secukupnya
- Chilli flakes secukupnya
- Sedikit minyak zaitun
- Garam secukupnya
Cara-Cara Memasak Resepi Spagetti Aglio Olio
- Mula-mula, rebuskan dahulu spagetti. Boleh masukkan sekali 1 sudu minyak masak dan 1 sudu kecil garam dalam rebusan. Toskan spagetti yang sudah lembut. Simpan sedikit air rebusan.
- Kupas kulit udang, perap bersama jus lemon, 1 sudu kecil serbuk lada putih, sedikit bawang putih cincang dan secubit garam. Ketepikan.
- Panaskan setengah cawan minyak masak, tumis bawang putih cincang sehingga naik bau.
- Kemudian, masukkan udang yang diperap tadi. Kacau rata.
- Selepas itu, masukkan tomato ceri, cendawan, 1 sudu serbuk lada hitam dan chilli flakes.
- Setelah udang masak, masukkan spagetti yang sudah direbus tadi bersama setengah cawan air rebusan spagetti dan sedikit garam . Perlahankan api dan kacau rata kesemuanya.
- Kemudian, masukkan daun parsley yang dihiris serta 1 sudu besar minyak zaitun dan kacau rata kesemuanya.
- Setelah itu, tutup api dan taburkan serbuk keju parmesan.
Tips Masakan
- Boleh tambahkan jenis makanan laut lain seperti sotong, kupang dan kepah mengikut selera anda. Masak bersama dengan udang.
- Tambahan air rebusan spageti dalam masakan akan menjadikan masakan anda lebih enak.
- Jika tiada daun parsley segar, boleh gantikan dengan daun parsley kering.
- Untuk mengelakkan spageti melekat, selepas rebus, toskan spageti dan siram dengan air sejuk.