resepi parpu telur

Resepi Parpu Telur Terlajak Sedap

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi parpu telur yang sedap? Parpu telur merupakan resepi yang berasal dari negeri Pulau Pinang. Masakan ini adalah mudah untuk disediakan namun tetap mempunyai peminatnya. Ia boleh dinikmati bersama roti parata atau boleh juga dijadikan sebagai lauk makan tengahari dan malam.

Pengenalan

Masakan parpu telur menggunakan kacang parpu atau kacang dhal sebagai bahan utama dalam masakan. Menu ini tidak pedas dan sesuai dihidangkan untuk golongan kanak-kanak. Keenakan kuahnya yang mengandungai kacang dhal menjadikan menu ini boleh dinikmati dengan pelbagai cara sama ada dengan roti paratha, roti canai, roti putih atau nasi putih.

Selain itu, parpu telur dapat dinikmati dengan lebih enak sekiranya dihidangkan panas. Menu ini juga merupakan menu yang sihat dan kurang lemak. Selain itu, ia juga menu yang kaya dengan protein yang bersumber dari telur dan kacang parpu. Mari kita cuba memasak resepi parpu telur yang mudah, enak dan berkhasiat ini di rumah.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Parpu Telur

  • 100gm kacang dhal
  • 4 biji telur ayam
  • 4 ulas bawang merah (dkisar)
  • 1 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 inci halia (dikisar)
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 biji kentang dipotong dadu
  • 1 tangkai cili kering
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • Setengah cawan santan
  • 1 biji tomato dipotong dadu
  • Minyak untuk menumis darat
  • Garam secukupnya

Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Parpu Telur

  1. Rendamkan kacang parpu dalam air panas selama 10 minit dan toskan.
  2. Dalam periuk, rebus kacang parpu sehingga kacang empuk.
  3. Selepas itu, masukkan bahan-bahan yang dikisar, kentang dan serbuk kunyit ke dalam periuk.
  4. Setelah kentang empuk, masukkan telur satu per satu. Biarkan telur masak seketika.
  5. Selepas itu, masukkan santan dan garam secukupnya. Boleh tutup api setelah kuah mereneh.
  6. Dalam kuali lain, tumiskan bawang besar, biji sawi, jintan putih, tomato, daun kari dan cili kering sehingga naik bau.
  7. Kemudian, curahkan bahan tumisan ke atas parpu telur, tutup periuk. Biarkan seketika kemudian barulah kacau perlahan-lahan.

Tips Masakan:

  • Boleh juga rebus telur dahulu sebelum masukkan dalam masakan. Terpulang kepada selera anda.
  • Kacau kuah perlahan-lahan supaya telur tidak hancur.
  • Jika mahu lebih pedas, boleh tambahkan lebih cili kering untuk tumis darat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 5 =