resepi telur masak lemak

Resepi Telur Masak Lemak Simple Dan Lazat

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi telur masak lemak yang sedap? Resepi yang menggunakan telur sememangnya menjadi pilihan ramai terutama bagi mereka yang ingin menjimatkan masa dan poket. Menu ini boleh dijadikan sebagai lauk untuk makan tengahari atau makan malam.

Pengenalan

Resepi telur masak lemak merupakan resepi masakan melayu yang digemari oleh ramai orang. Gandingan telur bersama kuah santan kuning yang sedikit pedas dan masam menjadikan hidangan ini cukup lazat dan enak. Masakan lemak kuning sememangnya perlu ada rasa masam dan inilah yang menjadikan masakan ini dapat membuka selera sesiapa sahaja.

Cara untuk menyediakan telur masak lemak adalah mudah. Tidak semestinya perlu gunakan telur itik sahaja. Jika anda hendak menggunakan telur ayam juga tiada masalah. Anda juga boleh memilih sama ada hendak merebus telur dahulu, kupas kulit dan masukkan ke dalam kuah ataupun hendak masukkan satu persatu telur segar yang dipecahkan ke dalam kuah. Ini terpulang kepada selera masing-masing. Mari kita cuba membuat resepi ini di rumah.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Telur Masak Lemak

  • 6 biji telur itik/ ayam
  • 2 inci kunyit hidup
  • 3 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 genggam cili padi (nak kurang pedas boleh kurangkan)
  • 1 batang serai dititik
  • 2 biji limau nipis (diambil airnya)
  • 1 cawan santan/ 1 kotak kecil santan
  • 1 helai daun kunyit
  • Garam secukupnya

Cara-Cara Memasak Resepi Telur Masak Lemak

  1. Kisar kasar bawang merah, bawang putih dan cili padi.
  2. Dalam periuk, masukkan bahan- bahan kisar, serai dan air limau nipis. Panaskan sehingga air sedikit kering.
  3. Kemudian, masukkan air beserta 2 sudu santan dahulu. Agak-agak kuantiti air boleh tenggelam telur. Perlahan sedikit api dan biar kuah mereneh.
  4. Setelah kuah mereneh, pecahkan telur, masukkan satu per satu dan di bahagian berasingan supaya tidak bertindih. Tunggu sekejap sehingga telur masak dan tidak pecah. Kacau kuah perlahan-lahan apabila hendak memastikan telur masak.
  5. Selepas itu, masukkan semua baki santan, daun kunyit dan garam secukup rasa. Kacau perlahan-lahan. Sentiasa kacau perlahan-lahan supaya santan tidak pecah minyak.
  6. Setelah sedikit mereneh, boleh tutup api. Siap untuk dihidang.

Tips Masakan:

  • Boleh tambahkan buah belimbing buluh jika suka.
  • Boleh juga gantikan air limau dengan asam keping. Cuma masukkan asam keping setelah letak air.
  • Boleh juga rebus dahulu telur sebiji-sebiji. Tapi lagi sedap jika pecahkan ke dalam kuah.
  • Boleh tambah sedikit serbuk kunyit untuk warna kuning lebih cantik. Tambah sebelum letak telur.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine − seven =