resepi sambal telur rebus

Resepi Sambal Telur Rebus Pasti Lazat

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi sambal telur rebus yang sedap? Sambal telur rebus adalah menu yang tidak kurang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Masakan ini selalunya dijadikan hidangan untuk makan tengahari bersama nasi putih atau juga dijadikan sambal untuk nasi lemak.

Pengenalan

Sambal telur rebus merupakan antara masakan telur yang digemari ramai. Gabungan telur dan sambal sememangnya sedap dan sesuai. Rasa pedas sambal telur rebus digaul bersama nasi putih pasti dapat menambat selera sesiapa sahaja. Bahkan boleh membuatkan seseorang menambah nasi berkali-kali.

Masakan sambal telur rebus boleh dibuat mengikut tahap kepedasan yang diinginkan. Ia ditentukan dengan penggunaan jenis cili kering dalam masakan. Jika mahu kurang pedas yang mana sesuai untuk kanak-kanak, anda boleh gunakan jenis cili kering yang kurang pedas. Mari kita pelajari cara-cara untuk memasak resepi sambal telur rebus yang enak ini.

Bahan-Bahan Untuk Resepi Sambal Telur Rebus

  • 6 biji telur ayam yang direbus & dikopek kulitnya
  • 5 biji bawang merah dipotong bulat (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 biji bawang besar
  • 2 senduk cili kering kisar
  • 1 keping asam keping
  • 1 sudu kecil belacan
  • 1 sudu besar gula pasir
  • Garam secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

Cara-Cara Memasak Sambal Telur Rebus

  1. Mula-mula, panaskan minyak dan goreng telur rebus sehinga kekuningan dan berkedut luarnya. Ketepikan.
  2. Kemudian, panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang sehingga naik bau. Selepas itu masukkan cili kisar dan belacan serta tumis sehingga pecah minyak.
  3. Setelah itu, masukkan sedikit air dan asam keping. Gaulkan sehingga sekata dan perlahankan api.
  4. Setelah sambal mereneh dan sedikit kering, masukkan gula dan garam. Kacau rata.
  5. Selepas itu, masukkan bawang besar dan telur yang digoreng tadi. Kacau perlahan-lahan dan berhati-hati bersama sambal sehingga sambal menyaluti telur.
  6. Tutup api dan siap untuk dihidangkan.

Tips Masakan:

  • Pastikan sambal ditumis sehingga betul-betul pecah minyak.
  • Boleh gantikan asam keping dengan 1 sudu kecil pes asam jawa.
  • Boleh gantikan telur ayam dengan telur puyuh.
  • Kacau telur dan sambal perlahan-lahan supaya telur tidak terpecah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 + four =