Bagaimanakah cara untuk memasak resepi Nasi Ayam? Artikel ini akan membincangkan cara yang mudah untuk anda memasak Nasi Ayam yang lazat.
Pengenalan Nasi Ayam
Nasi ayam, satu hidangan yang popular dan tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Hidangan yang mempunyai pelbagai variasi untuk dicuba mengikut selera masing masing. Kesedapan nasi ayam ini bergantung kepada 3 elemen dalam hidangan ini, iaitu nasi, ayam dan sup nya.
Di sini kami akan berkongsikan dengan anda, resepi dan tips untuk menyediakan nasi ayam yang lazat dan mudah untuk dicuba.
Masa untuk Memasak dan Penyediaan : 40 – 60 minit
Jumlah Hidangan : 4 orang
Bahan Masakan Nasi Ayam
Bahan untuk Ayam (Rebusan)
- 1 ekor ayam (dipotong 8 bahagian)
- 1 kiub pati ayam
- 2cm halia yang ditumbuk
- 2 ulas bawang putih ditumbuk halus
Bahan untuk Ayam (Perapan)
- 1 sudu besar kicap pekat
- 1 sudu besar sos tiram
- 1cm halia yang ditumbuk halus
- 1 sudu besar kicap cair
- 2 ulas bawang putih ditumbuk halus
Bahan bahan untuk nasi
- 3 cawan beras
- 4 cawan air rebusan ayam
- 1 batang serai yang diketuk
- 2 helai daun pandan
- Kunyit
- 2 sudu mentega
- Garam
Bahan bahan untuk nasi(ditumis)
- 2 bunga lawang
- 4 biji buah pelaga
- 1 batang kayu manis
Bahan untuk sos
- 1/2 cawan air rebusan ayam
- 1 sudu teh gula
- 1 sudu teh garam
- 2cm halia
- 3 ulas bawang putih
- 5 biji cili merah
- 1 sudu besar cuka
Bahan untuk sup
- Air rebusan ayam
- 1 biji bawang besar yang dikisar
- Garam
- Rempah sup bunjut
- Daun sup dan daun bawang,dihiris.
Bahan untuk kuah kicap
- Air rebusan ayam
- Kuah kicap perapan ayam
- kicap manis
- garam
Cara Penyediaan Resepi Nasi Ayam
Cara penyediaan ayam :
- Bersihkan ayam, lumurkan ayam dengan 2 ulas bawang putih dan halia yang sudah ditumbuk tadi
- Rebus ayam dengan kiub pati ayam sehingga empuk
- Asingkan ayam tadi dan perap bersama bahan perapan seperti yang dinyatakan diatas selama setengah jam.
- Setelah itu, goreng ayam tersebut dengan api sederhana, kemudian asingkan.
Cara cara memasak nasi :
- Basuh beras dengan air yang bersih, toskan.
- Panaskan mentega dan tumis bahan tumisan. Sertakan sekali daun pandan, halia, serai, dan bawang putih sehingga garing.
- Masukkan beras dan masak seketika sampai naik aroma.
- Masukkan air rebusan ayam, sedikit garam dan kunyit secukupnya.
- Masak nasi seperti biasa.
Cara menyediakan sup :
- Rebus air rebusan ayam dengan rempah sup bunjut, bawang besar.
- Masukkan garam secukup rasa
- Taburkan daun bawang dan daun sup yang dihiris.
Cara menyediakan kuah kicap :
- Campurkan bahan untuk kuah kicap dan masak seketika.
- Asingkan dan sejukkan sebelum dihidang.
Cara menyediakan sos :
- Kisarkan bahan untuk sos
- Masak sebentar bagi menambahkan lagi aroma.
*Sebagai tambahan, anda boleh hias dengan bawang goreng dan daun salad. Semuanya mengikut citarasa anda kerana hidangan nasi ayam mempunyai pelbagai cara yang boleh menjadikan hidangan ini nampak lebih menarik.
Penambahan dan Tips Ringkas
- Elakkan merebus ayam terlalu lama bagi mengelakkan isi ayam hancur ketika proses menggoreng.
Selamat mencuba dan selamat menjamu selera.