Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi roti jala yang mudah dan sedap untuk disediakan? Roti jala sangat popular dalam majlis rumah terbuka ataupun pelbagai jenis majlis. Malah, roti jala merupakan menu minum petang yang mudah dan ringkas untuk disediakan.
Tetapi, ia mengambil sedikit masa untuk disediakan kerana roti jala perlu dikirai satu per satu. Roti jala sesuai dimakan bersama kuah manis seperti serawa durian mahupun kuah kari ayam. Oleh itu, roti jala juga terdapat dalam 2 warna iaitu hijau dan kuning.
Roti jala yang berwarna kuning kebiasaannya dimakan bersama kuah kari dan roti jala berwarna hijau kebiasaannya dimakan bersama kuah manis seperti serawa durian. Roti jala yang enak semestinya roti jala yang gebu dan lembut. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan roti jala yang ringkas dan sedap untuk minum petang.
Pengenalan
Roti jala dikenali sebagai roti kirai atau roti renjis dan merupakan hidangan minum petang yang sangat popular dalam kalangan orang Melayu dan Minangkabau. Roti jala dan kari ayam sudah menjadi menu kemestian apabila berkunjung ke rumah terbuka mahupun menu minum petang.
Tapi, pada masa sekarang roti jala juga dimakan bersama kuah manis seperti serawa durian. Roti jala juga ada dalam pelbagai warna. Malah, ada yang jual roti jala dalam bentuk bunga ros. Roti jala tersebut sangat memikat hati sesiapa yang memandang.
Apa yang perlu kita tahu adalah roti jala memerlukan alat pengirai dan juga kuali leper untuk mengirai bancuhan tepung. Roti jala yang enak adalah apabila ia lembut dan gebu dicicah bersama kuah kari yang sedikit pekat mahupun kuah manis seperti serawa durian. Penyediaan roti jala sangat mudah dan ringkas. Mari kita cuba resepi roti jala seperti di bawah.
Masa Memasak: 60 minit
Jumlah Hidangan: 4 orang
Bahan-bahan Untuk Resepi Roti Jala
- 2 cawan tepung gandum serbaguna
- 2 cawan air
- 1/2 cawan susu cair/santan
- 1 sudu besar marjerin yang telah dicairkan/minyak masak
- 1 biji telur
- Secubit garam
- Sedikit pewarna kuning/serbuk kunyit/hijau
Cara-cara Memasak Resepi Roti Jala
- Letakkan semua bahan roti jala di dalam pengisar atau blender.
- Kisar semua bahan sehingga sebati dan halus.
- Kalau bancuhan tepung terlalu pekat boleh tambahkan sedikit air, manakala kalau terlalu cair boleh tambahkan sedikit tepung gandum serbaguna.
- Panaskan kuali leper, sapukan sedikit minyak sekata ke seluruh kuali leper agar roti jala tidak melekat pada kuali.
- Kiraikan roti jala di atas kuali menggunakan acuan pengirai roti jala.
- Kemudian, apabila sudah masak bolehlah lipat seperti popia goreng.
- Selamat mencuba
Tips berguna:
Sentiasa sapu sedikit minyak pada kuali leper sebelum mengirai roti jala agar roti jala tidak melekat pada kuali
Roti jalan ini bolehlah dimakan dengan kuah kari. Anda boleh rujuk resepi seperti dibawah