Resepi Sambal Goreng Jawa

Resepi Sambal Goreng Jawa Yang Sedap

Bagaimanakah cara untuk membuat sambal goreng jawa? Resepi kali ni penulis membawa kelainan dengan memperkenalkan resepi yang sangat popular dikalangan orang jawa terutama yang berada di Johor atau di Selangor. Sambal goreng jawa sangat menyelerakan dan merupakan makanan yang sering menjadi pilihan hidangan bagi orang jawa.

Sambal goreng ini terdiri daripada campuran pelbagai bahan seperti tempe, tauhu, kentang, hati ayam, suhun dan macam-macam lagi. Campuran bahan-bahan ini berserta kepedasan akan menambah keenakkan yang tidak boleh ditolak.

Pengenalan

Sambal goreng jawa ini sebenarnya mempunyai dua versi iaitu versi kering dan versi bersantan (basah sedikit). Sambal goreng jawa ini sering didapati dalam menu di majlis-majlis keraian seperti majlis hari raya, majlis kahwin dan majlis tahlil. Selain itu, sambal goreng jawa ini juga sedap dimakan bersama nasi terutamanya nasi ambeng yang turut popular dikalangan kaum jawa. Menu ini pasti akan memikat selera anda. Pada kali ini penulis akan membawa anda dengan resepi sambal goreng jawa versi bersantan. Jom! Kita mulakan.

Waktu hidangan:  30-45 minit

Jumlah hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Sambal Goreng Jawa

Bahan-bahan untuk kisar halus

  • 3 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3-4 tangkai cili padi
  • 1 inci lengkuas
  • Setengah cawan kecil ikan bilis
  • ½ cawan air

Bahan-bahan untuk goreng

  • 1-2 biji kentang
  • 2 keping tempe
  • 2 ketul tauhu
  • sedikit serbuk kunyit
  • sedikit garam

Bahan-bahan lain-lain

  • 1 batang serai
  • 6-7 batang kacang panjang
  • 1-2 tangkai cili merah
  • fucuk dan suhun
  • 3-4 sudu besar air asam jawa
  • 4-5 ekor udang
  • 1 mangkuk santan segar ATAU 100ml santan kotak
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Cara-Cara Penyediaan Resepi Sambal Goreng Jawa

Cara-cara untuk memasak resepi sambal goreng jawa

  1. Kisar halus bawang merah, bawang putih, halia, cili padi, lengkuas, ikan bilis dan air. Ketepikan seketika.
  2. Kupas kentang dan potong dadu besar. Bersihkan dan ketepikan.
  3. Potong tahu dan tempe kepada ketulan yang besar.
  4. Masukkan kentang, tauhu dan tempe didalam bekas. Letakkan kunyit dan sedikit garam. Gaulkan sehingga sekata pada setiap bahan bahan.
  5. Panaskan minyak didalam kuali dan goreng bahan bahan tadi sehingga bertukar warna kekuningan.
  6. Angkat dan toskan minyak. Ketepikan seketika.
  7. Gunakan minyak yang sama, masukkan bahan kisar halus dan tumis sehingga pecah minyak dan garing.
  8. Kemudian masukkan serai yang telah dipotong dan dibersihkan. Kacau seketika dan biarkan sehingga naik bau yang wangi.
  9. Masukkan pula bahan bahan goreng, fucuk dan suhun. Kacau seketika.
  10. Masukkan pula air asam jawa dan kacau seketika.
  11. Kemudian, masukkan kacang panjang yang siap dipotong, santan pekat, udang, garam dan gula secukup rasa serta cili merah. Kacau agar semua campuran sebati.
  12. Biarkan sambal goreng jawa masak sehingga udang bertukar warna merah.
  13. Siap dan boleh dihidangkan.

Tips Berguna:

  • Anda boleh menggunkan cili kering sekiranya tiada cili merah dirumah
  • Masak santan sekejap sebelum dimasukkan dalam sambal goreng jawa
  • Boleh tambah santan lagi sekiranya anda mahukan sambal berkuah dan berlemak sedikit

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 + 16 =