resepi sambal tempe ikan bilis

Resepi Sambal Tempe Ikan Bilis Ringkas dan Enak

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi sambal tempe ikan bilis yang ringkas dan enak untuk disediakan? Sambal tempe ikan bilis sangat sedap apabila dimakan bersama nasi putih panas-panas mahupun diratah begitu sahaja. Terdapat pelbagai variasi penyediaan masakan sambal tempe ikan bilis.

Ada yang menambahkan kacang tanah ke dalam sambal tempe ikan bilis. Ada yang menambahkan kentang yang dipotong nipis dan digoreng rangup ataupun kentang yang dipotong bentuk wedges. Terpulang kepada citarasa masing-masing.

Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan sambal tempe ikan bilis yang ringkas dan enak.

Pengenalan

Sambal tempe ikan bilis jikalau dimasak garing boleh tahan lama sehingga seminggu. Oleh itu, boleh dijadikan stok makanan untuk pelajar asrama, sesuai untuk dibawa pergi bercuti dan stok untuk makanan di rumah. Jika buat stok di rumah, hanya perlu memasak nasi putih dan goreng ayam ataupun telur mata sudah cukup dan menyelerakan.

Sambal tempe ikan bilis ini juga sesuai diratah begitu sahaja seperti kudapan. Cara penyediaannya sangat mudah dan cepat. Mari kita cuba resepi sambal tempe ikan bilis seperti di bawah.

Masa Memasak: 60 minit

Jumlah Hidangan: 4-5 orang

Bahan untuk Resepi Sambal Tempe Ikan Bilis

  • Minyak masak secukupnya (untuk menggoreng tempe dan ikan bilis dan untuk menumis)
  • Sedikit serbuk kunyit (untuk digaulkan bersama tempe)
  • Garam, gula dan serbuk perasa (mengikut citarasa)
  • 5 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • 3 biji bawang besar (dihiris halus)
  • 2 senduk besar lada kering kisar (mengikut kepedasan masing-masing)
  • 5 sudu besar air asam jawa
  • 3 paket tempe (dipotong nipis)
  • 2 mangkuk ikan bilis (dibasuh bersih)

Cara-cara memasak sambal tempe ikan bilis

  1. Gaulkan tempe yang dipotong nipis bersama sedikit kunyit dan garam. Panaskan minyak di dalam kuali.
  2. Apabila minyak sudah panas, gorengkan tempe sehingga masak kekuningan. Angkat dan toskan minyak.
  3. Kemudian, dalam minyak yang sama, gorengkan ikan bilis sehingga garing. Angkat dan toskan minyak.
  4. Keluarkan sedikit minyak gorengan daripada kuali. Tinggalkan dalam anggaran 1 senduk kecil minyak gorengan dalam kuali untuk menumis.
  5. Tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga kekuningan dan naik bau.
  6. Kemudian, masukkan lada kering kisar. Masukkan 1 sudu besar gula pasir. Masak sehingga lada kering masak dan pecah minyak.
  7. Masukkan air asam jawa, garam dan serbuk perasa. Baiki rasa mengikut citarasa masing-masing. Masak sehingga rasa sebati dan sambal masak.
  8. Kemudian, masukkan tempe dan ikan bilis yang telah digoreng. Gaulkan sehingga tempe dan ikan bilis disaluti dengan sambal.
  9. Bolehlah hidangkan bersama nasi putih panas atau diratah begitu sahaja. Selamat mencuba

Tips berguna:

  • Jika inginkan sambal tempe ikan bilis yang tahan lama, masak sambal sehingga kering.
  • Masukkan gula semasa menumis lada kering agar lada kering cepat masak sekata dan garing.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 1 =