resepi siakap stim limau

Resepi Siakap Stim Limau yang Mudah dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk menyediakan resepi siakap stim limau yang mudah dan sedap untuk disediakan? Siakap stim limau adalah salah satu menu popular jikalau berkunjung ke kedai makan tom yam siam selain daripada siakap sweet sour.

Keenakkan rasanya yang pedas-pedas masam manis menjadi ia menu pilihan ramai rakyat Malaysia. Malah, ia juga boleh dimasak sendiri di rumah kerana cara penyediaannya juga sangat mudah. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan siakap stim limau mudah dan sedap.

Pengenalan

Bahan penyediaan siakap stim limau amat mudah untuk didapati selain cara penyediaannya juga sangat mudah. Menu ini sesuai untuk dihidangkan kepada seisi keluarga terutama untuk menu makan tengah hari  ataupun makan malam.

Menu ini juga sesuai untuk pengamal makanan sihat kerana ia menggunakan teknik memasak secara kukus dan tidak menggunakan sebarang minyak. Cara penyediaannya sangat mudah dan cepat. Mari kita cuba resepi siakap stim limau seperti di bawah.

Masa Memasak: 40 minit

Jumlah Hidangan: 3-4 orang

Bahan untuk Resepi Siakap Stim Limau

  • 1 ekor ikan siakap (bersaiz sederhana)
  • 3 batang serai (dititik)
  • 1 inci halia (dihiris nipis)
  • 5 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • 1 ikat daun ketumbar (dihiris nipis)
  • 5-6 tangkai cili padi merah dan hijau (dihiris nipis dan mengikut tahap kepedasan masing-masing)
  • 1 kiub stok ayam
  • Sedikit gula melaka (bergantung kepada rasa)
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 3 biji limau nipis (air perahan limau nipis yang dibuang biji)
  • 1 mangkuk air

Cara Memasak Resepi Siakap Stim Limau

  1. Siang ikan siakap dan dibersihkan. Kelar badan ikan siakap agar ikan masak sekata dan menyerap bahan masakan nanti.
  2. Masukkan serai dan halia ke dalam perut ikan untuk menghilangkan bau hanyir ikan.
  3. Sediakan pengukus dan tunggu sehingga air kukusan mendidih. Kukuskan ikan siakap di dalam pengukus selama anggaran 10 minit.
  4. Di dalam periuk lain, masukkan air bersama kiub stok ayam dan gula melaka. Masak sehingga bahan larut.
  5. Tunggu seketika sehingga suam. Masukkan bawang putih, cili padi, daun ketumbar, sos ikan dan air perahan limau nipis ke dalam periuk yang berisi air, stok ayam dan gula melaka. Kacau sebati bahan tersebut.
  6. Rasa bahan campuran tadi. Baiki rasa mengikut citarasa anda. Jika inginkan lebih masam, tambahkan jus limau nipis. Jika inginkan rasa yang lebih manis, tambahkan gula melaka. Jika inginkan rasa yang lebih masin, tambahkan sos ikan.
  7. Kemudian, tuangkan bahan campuran ke dalam ikan yang dikukus sebentar tadi. Kukus sebentar selama 2 minit agar bahan menyerap ke dalam ikan. Dan hiaskan dengan hirisan limau nipis.
  8. Bolehlah hidangkan bersama nasi putih panas atau diratah begitu sahaja. Selamat mencuba

Tips berguna

  • Boleh tambahkan daun limau purut ke dalam perut ikan jika inginkan aroma yang lebih berbangkit.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × one =