resepi serawa durian

Resepi Serawa Durian Yang Lemak Manis

Bagaimanakah cara untuk membuat resepi serawa durian yang sedap berlemak? Serawa durian merupakan hidangan yang menjadi kegemaran ramai terutamanya peminat durian. Hidangan ini juga boleh dinikmati bersama dengan roti jala, pulut atau kuih serabai. Selain itu, serawa durian juga boleh dicicah dengan roti potong putih. Walaupun agak ringkas, namun ia tetap membangkitkan selera sesiapa jua yang meminati buah durian.

Pengenalan

Serawa durian lazimnya dibuat apabila mempunyai lebihan durian yang masak ranum. Selalunya durian yang dipilih untuk dibuat serawa adalah jenis durian kampung yang isinya tidak terlalu tebal dan lebih manis. Namun, jenis durian lain juga boleh digunakan untuk membuat serawa. Penyediaan serawa durian tidaklah rumit.

Hanya beberapa bahan sahaja diperlukan untuk membuat serawa durian. Pada kali ini, penulis akan berkongsi dengan anda berkenaan cara-cara untuk membuat serawa durian. Mari kita sama-sama pelajari resepi ini dan mencuba untuk membuatnya di rumah.

resepi serawa durian

Bahan-Bahan Untuk Resepi Serawa Durian

  • 6-7 ulas durian (boleh tambah ikut selera)
  • 200 ml air
  • 300 gram ketul gula melaka
  • 2 sudu besar gula pasir
  • 800 ml santan
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2 helai daun pandan disimpul dan disiat

Cara-Cara Untuk Menyediakan Resepi Serawa Durian

  1. Leraikan isi durian daripada biji. (Jangan dibuang bijinya-namun terpulang pada selera masing-masing)
  2. Panaskan air bersama gula melaka, gula pasir dan daun pandan sehingga menggelegak.
  3. Masukkan santan dan durian. Kecilkan sedikit api dan biarkan kuah serawa dipanaskan sehingga mereneh. Kacau kuah serawa dengan perlahan-lahan.
  4. Masukkan garam secukup rasa.
  5. Sedia untuk dihidangkan.

Tips Berguna

Jangan masak dengan api yang terlalu besar selepas meletakkan santan. Ini untuk mengelakkan santan menjadi berketul.

Untuk lebih sedap, gunakan santan segar.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty + 11 =