Resepi sup ayam

Resepi Sup Ayam yang Ringkas dan Lazat

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi sup ayam yang sedap? Artikel ini akan membincangkan cara-cara memasak, bahan masakan yang diperlukan dan juga tips yang berguna untuk memasak resepi ini.

Pengenalan

Sup ayam merupakan menu yang sering menjadi pilihan hidangan masakan di rumah. Selain rasanya yang enak, sup ayam juga amat mudah untuk disediakan. Sup ayam yang dimasak bersama rempah ratus memberikan aroma istimewa pada kuahnya. Anda boleh masukkan sup bunjut dan serbuk rempah sup dalam masakan ini.

Selain enak di makan bersama nasi putih, ramai juga yang gemar untuk menikmati sup ayam dengan roti. Selalunya sup ayam yang dihidang bersama nasi putih akan digandingkan dengan sambal belacan. Ini boleh membuatkan anda menambah nasi berkali-kali.

Jadi, mari kita cuba memasak resepi sup ayam yang sedap ini di rumah.

Masa penyediaan : 30 minit

Jumlah Hidangan : 3- 5 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Sup Ayam

  • 1/2 ekor ayam
  • 1 paket kecil rempah sup
  • 5 biji bawang merah (dihiris nipis)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 1 inci halia (dihiris)
  • 3 biji cili api
  • 1 biji tomato dibelah empat
  • 2-3 biji kentang dipotong dadu besar
  • 1 sup bunjut
  • Sedikit daun bawang
  • 1 sudu bawang goreng
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Cara Memasak Resepi Sup Ayam

  1. Panaskan minyak untuk menumis bawang dan halia yang telah dihiris serta sup bunjut.
  2. Setelah bawang layu, masukkan ayam dan tomato. Goreng seketika sehingga ayam sedikit kekuningan.
  3. Kemudian, masukkan air secukupnya sehingga tenggelamkan ayam dan masukkan juga kentang.
  4. Buka api sederhana dan biarkan kuah mereneh. Setelah kuah sup mereneh, masukkan rempah sup yang telah dibancuh dengan air.
  5. Setelah ayam masak dan kentang sudah empuk, masukkan garam secukup rasa.
  6. Kemudian masukkan cili padi dan daun bawang yang telah dihiris. Kacau seketika dan tutup api.
  7. Taburkan bawang goreng atas sup.

Tips Masakan

  • Boleh juga masukkan lobak merah atau batang saderi dalam sup.
  • Boleh juga masukkan 1 kiub pati ayam dalam sup. Masuk bersama dengan kentang.
  • Jika anda sukakan kuah masam, boleh perahkan 1 biji limau nipis dalam kuah setelah selesai masak.
  • Untuk menambahkan lagi aroma sup, ada boleh tumiskan hirisan bawang merah sehingga warna coklat, kemudian tuangkan ke atas sup setelah selesai masak. Tutup tudung periuk selepas menuangkan tumisan bawang merah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one + 19 =