resepi ikan siakap tiga rasa

Resepi Siakap Tiga Rasa yang Mudah dan Lazat

Jika anda tanyakan kepada saya, masakan apa yang paling ‘best’ untuk meraikan apa-apa pencapaian dan sebagainya, tentu saya akan cadangkan resepi ikan siakap masak tiga rasa. Selalunya jika di restoran makanan laut yang popular pun, kita akan dapat lihat menu ini berada pada kebanyakan meja.

Nak tahu bagaimana untuk masak siakap tiga rasa yang sedap, mari ikuti resepi yang bakal saya kongsikan di bawah.

Apa itu Siakap Tiga Rasa?

Siakap tiga rasa adalah salah satu menu popular di restoran-restoran makanan laut di Malaysia yang menggunakan ikan siakap sebagai bahan masakan utamanya. Ikan siakap yang juga dikenali sebagai ikan kakap putih boleh dijumpai di kawasan air masin dan air tawar terutamanya di kawasan pertemuan laut dan sungai. Keseimbangan pada rasa pedas, manis dan masam adalah peneraju utama kepada kejayaan memasakkan hidangan ini.

Masa untuk memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan: 3 orang

Bahan untuk Resepi Siakap Tiga Rasa

Bahan Untuk Menggoreng Ikan:

  • Seekor ikan siakap (bersaiz sederhana)
  • Kunyit
  • Garam
  • Tepung jagung

Bahan Untuk Kuah:

  • 3 ulas bawang putih (dihiris halus)
  • 4 biji bawang merah
  • 7 tangkai cili padi
  • 1 inci halia – dihiris halus
  • 1 batang serai (dititik)
  • 1/3 biji nanas (dipotong dadu)
  • 1/2 biji lobak merah (dipotong dadu)
  • 1 biji tomato (dipotong dadu )
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 3 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Air secukupnya

Bahan Hiasan:

  • 1 pokok daun sup
  • 1 batang daun bawang (dihiris)

Cara Penyediaan Resepi Siakap Tiga Rasa

  1. Lumur ikan siakap yang telah disiang dengan kunyit dan garam secukupnya. Tambahkan sedikit tepung jagung pada lumuran untuk menggaringkan dan menyedapkan lagi ikan. Tinggalkan seketika untuk memerap ikan tersebut.
  2. Panaskan minyak di atas kuali. Pastikan minyak dapat menutupi ikan itu tadi untuk memastikan gorengan lebih sekata dan sedap. Apabila minyak telah cukup panas, masukkan siakap yang telah dilumur tadi dan goreng sehingga kuning keemasan.
  3. Untuk mula membuat kuahnya, panaskan sedikit minyak di atas api yang sederhana. Kemudian, tumiskan bawang putih, bawang merah, cili padi, halia dan serai sehingga bawang layu dan naik bau.
  4. Kemudian, masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram ke dalam tumisan dan gaul sebati.
  5. Masukkan lobak merah dan juga sedikit air. Biar seketika untuk memastikan lobak empuk.
  6. Kemudian, masukkan nanas, garam dan gula secukupnya ke dalam masakan. Biarkan kuah mereneh seketika. Tutup api. Masukkan tomato dan gaul rata.
  7. Tuangkan kuah yang telah siap ke atas ikan siakap yang telah siap digoreng dan taburkan daun sup dan daun bawang sebagai hiasan.
  8. Ikan siakap tiga rasa anda kini telah sedia untuk dihidang.  

Tips Berguna

  1. Untuk menghilangkan hanyir ikan, setelah dicuci, rendam ikan di dalam bancuhan air asam jawa atau bancuhan limau.
  2. Antara isu apabila menggunakan ikan yang sudah lama, isinya akan lebih mudah untuk hancur apabila digoreng. Rendamkan ikan anda dengan asam jawa, kerana asam jawa dikatakan boleh memejalkan isi ikan tersebut agar kurang berderai.
  3. Pastikan penggunaan minyak yang banyak ketika menggoreng ikan dan pastikan minyak cukup panas sebelum memasukkan ikan. Hal ini akan dapat mengelakkan ikan melekat di atas kuali.
  4. Jika kuah terlalu cair, tambahkan sedikit tepung jagung yang dicampurkan air sedikit demi sedikit dan kacau dengan api yang perlahan sehingga kuah menjadi pekat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 − four =