resepi sup daging

Resepi Sup Daging yang Sedap dan Simple

Resepi sup daging merupakan sejenis hidangan lauk yang sentiasa menjadi pilihan menu jika anda berkunjung di kedai makanan siam. Malahan, sup daging ini juga menjadi menu pilihan ketika tibanya Hari Raya Aidiladha. Daging korban sering dijadikan masakan sup daging. Menu sup daging ini sangat enak dihidangkan panas-panas.

Bukan sahaja enak dimakan bersama nasi putih dan sambal belacan malahan enak juga dimakan bersama roti putih atau dihirup begitu sahaja. Untuk mendapatkan tekstur daging yang lembut, daging perlu dimasak lama di atas dapur. Tetapi, untuk menjimatkan masa, anda juga boleh menggunakan periuk tekanan atau lebih dikenali sebagai “pressure cooker”.  Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk memasak sup daging yang enak tapi simple.

Pengenalan

Sup daging sangat enak jika dimakan panas-panas dan mempunyai rasa yang sedikit masam dan pedas. Sup daging ini juga boleh dimakan bersama mee kuning, bihun ataupun kuew teow malahan boleh juga dihidangkan bersama roti putih di samping bersama nasi putih panas.

Juadah ini sangat sesuai dimakan untuk makan tengah hari ataupun makan malam. Cara memasaknya juga amat mudah. Oleh itu, anda juga boleh mencuba untuk memasak sup daging ini  di rumah dengan berpandukan resepi di bawah.

Masa Memasak: 1 jam 30 minit

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-bahan Resepi Sup Daging yang Sedap dan Simple

Bahan-bahan Sup Daging

  • 1 kg daging
  • 2 1/2 liter air masak
  • 3 sudu besar rempah sup
  • 1 bunjut sup bunjut (sup tulang)
  • 2 sudu besar serbuk lada sulah
  • 1 inci halia (dihiris memanjang)
  • 1 inci lengkuas (dihiris memanjang)
  • Rempah tiga sekawan
  • Sedikit minyak masak untuk menumis
  • 4 ulas bawang putih dihiris nipis
  • 4 ulas bawang merah (dimayang halus)
  • 1 biji bawang besar (dimayang halus)
  • 1 batang akar daun sup
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • Sedikit ajinomoto atau serbuk perasa

Bahan-bahan pelengkap hidangan

  • Daun sup
  • Limau nipis (dihiris)
  • Bawang goreng
  • Cili padi (dihiris)

Cara- cara memasak sup daging

  1. Mula-mula, panaskan minyak. Kemudian, masukkan rempah 3 sekawan, hirisan bawang besar, hirisan bawang putih, hirisan halia, hirisan bawang besar dan hirisan lengkuas. Tumis sehingga kekuningan.
  2. Selepas itu, masukkan rempah sup & serbuk lada sulah. Tumiskan sehingga pecah minyak.
  3. Selepas itu, di dalam periuk tekanan yang berisi daging yang telah dibasuh bersih dan dituang 2 1/5 liter air, masukkan rempah yang telah ditumis sebentar tadi. Masak dalam pressure cooker selama lebih kurang 40 minit atau sehingga daging empuk.
  4. Apabila daging sudah empuk, masukkan sedikit garam, gula dan serbuk perasa mengikut citarasa anda.
  5. Apabila sudah siap, bolehlah anda hidangkan bersama hirisan cili, daun sup dan bawang goreng yang telah ditabur. Untuk lebih rasa masam, anda boleh perahkan air limau nipis.

Selamat mencuba

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × three =