Resepi Sup Tulang

Resepi Sup Tulang Yang Sedap Dan Padu

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi sup tulang yang sedap dan padu? Sup tulang merupakan hidangan yang tidak asing lagi dikalangan rakyat Malaysia. Penyediaan sup tulang yang dimasak bersama rempah ratus boleh dinikmati bersama dengan nasi putih, mihun atau mee kuning. Hidangan sup tulang ini digemari ramai tak kira yang tua ataupun muda. Kebiasaannya di restoran atau kedai makan menjual sup tulang ini bersama nasi panas dan telur dadar. Memang padu jika ada 3 jenis makanan ini, malah boleh makan bertambah-tambah.

Pengenalan

Masakan sup tulang ini sangat popular tidak kira masa dan pada Hari Raya Aidiladha, masakan ini menjadi pilihan utama untuk dihidangkan setelah aktiviti korban diadakan. Penyediaan sup tulang tidaklah rumit. Anda juga boleh memasaknya di rumah untuk menjamu ahli keluarga. Kali ini penulis akan berkongsi dengan anda cara-cara untuk memasak sup tulang. Jom kita belajar resepi sup tulang ini. Selamat Berjaya!

Masa Penyediaan: 20 minit

Masa Memasak: 30-40 minit

Jumlah Hidangan: 4 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Sup Tulang

Bahan:

  • 500g Tulang Lembu
  • Sedikit garam
  • Sedikit gula
  • minyak untuk menumis
  • Air untuk merebus tulang

Bahan untuk rempah tumis:

  • 1 batang kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2-3 tangkai cengkih

Bahan untuk dikisar:

  • 3 ulas bawang putih
  • 3 ulas bawang merah
  • 3 biji buah keras
  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 sudu kecil serbuk ketumbar
  • 1 sudu kecil jintan putih

Bahan untuk dipotong dadu besar (ikut citarasa-boleh ditambah atau tidak):

  • 1/2 batang lobak merah
  • 2 biji kentang sederhana besar
  • tomato (potong 4)
  • bawang besar 2 biji potong 4

Bahan untuk ditabur:

  • Bawang goreng
  • Daun bawang
  • Daun sup

Cara Penyediaan Resepi Sup Tulang

  1. Basuh bersih 500g tulang dengan air dan toskan air.
  2. Masukkan air dalam anggaran separuh dari pada periuk. Kemudian masukkan tulang yang telah dibersihkan. Rebus tulang sehingga daging daging yang ada pada tulang menjadi empuk. Tutup api dan biarkan seketika.
  3. Masukkan bawang putih, bawang merah, buah keras, jintan manis, lada hitam, serbuk ketumbar dan jintan putih kedalam pengisar. Kisar halus kesemua bahan dan ketepikan.
  4. Gunakan periuk yang lain, masukkan minyak ke dalam periuk dan tumiskan bahan rempah. Setelah itu, tumiskan bahan yang telah dikisar tadi sehingga naik bau dan pecah minyak.
  5. Masukkan tulang yang telah direbus tadi dan kacau supaya tumisan dengan tulang sebati.
  6. Kemudian masukkan air rebusan tulang tadi sebanyak 3 cawan atau ikut kuantiti kesukaan.
  7. Selepas itu, masukkan lobak merah dan kentang yang telah dipotong. Perlahankan api dan biarkan ia mereneh. Masak sehingga kentang dan lobak merah menjadi lembut.
  8. Masukkan pula tomato dan garam serta gula secukup rasa. Kacau mesra agar sebati rasanya nanti.
  9. Bila dah masak, boleh lah tutup api dan taburkan daun bawang, daun sup serta bawang goreng pada sup tulang anda.
  10. Siap dihidang!

Tips Berguna

  • Boleh dihidangkan dengan sambal cili kicap bersama perahan limau nipis untuk rasa sedikit pedas dan masam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 − one =