resepi tomyam merah

Resepi TomYam Merah Tumis Ala Thai

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi tomyam merah Thai yang sedap? Pada artikel kali ini saya akan berkongsi dengan anda semua tentang satu resepi yang popular, mudah didapati dan sentiasa menjadi kesukaan rakyat Malaysia iaitu tom yam merah.

Tom yam merah ini sering kali menjadi pilihan menu pelanggan dan ia dipadankan bersama ikan masak tiga rasa, sambal belacan, sayur goreng dan telur dadar. Menu ini sesuai untuk dimakan pada waktu makan tengah hari ataupun malam. Cara penyediaannya juga amat mudah dan senang.

Pengenalan

Tom yam merah ala Thai ini mempunyai rasa masam, pedas dan manis serta berwarna merah. Menu ini berasal daripada Thailand dan popular dalam kalangan rakyat Malaysia . Terdapat pelbagai cara penyediaan tom yam merah ini seperti ada yang menambahkan sedikit susu cair atau santan di dalam masakannya dan ada juga yang tidak meletakkannya. Ia bergantung kepada citarasa masing-masing. Menu tom yam juga boleh dicampur dengan ayam, daging, sotong dan udang. Sayur-sayuran seperti kobis, jagung kecil, cendawan dan lobak juga sesuai dimasukkan ke dalam masakan tomyam.

Dengan pelbagai jenis lauk dan sayur yang boleh dimasukkan ke dalam tomyam, menu ini semestinya amat mudah untuk dimasak. Hidangan ini juga mudah dan cepat untuk dimasak di rumah untuk seisi keluarga. Dengan ini, saya akan kongsikan bersama anda resepi tom yam merah seperti di bawah.

Masa Memasak: 50 minit

Jumlah Hidangan: 5 orang

Bahan-Bahan TomYam Merah Ala Thai

  • 1/2 ekor ayam (dipotong dan dibasuh bersih)
  • 1 biji bawang besar (dipotong)
  • 5 ulas bawang putih (diketuk)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 1 inci halia (diketuk)
  • 2 sudu besar cili kering kisar (atau chilli paste thai maepranom)
  • 3 biji tomato (dipotong kepada 6 bahagian)
  • 1 batang lobak merah (dipotong)
  • Segenggam kobis bunga
  • 3 helai daun limau purut (dipotong)
  • Air masak secukupnya
  • 2 sudu pes tom yam merah (jenama madam pum atau maepranom)
  • Garam, gula pasir dan serbuk perasa secukupnya
  • 4 tangkai cili padi (diketuk atau dihiris)
  • 3 tangkai cili api merah (diketuk atau dihiris)
  • 3 sudu air limau nipis
  • 1 pokok daun ketumbar bersama akarnya

Cara- Cara Memasak Resepi TomYam Merah Ala Thai

  1. Tumiskan bawang besar, bawang putih, halia dan serai sehingga naik bau.
  2. Masukkan cili kering kisar dan pes tom yam. Kacau sehingga pecah minyak.
  3. Selepas itu, masukkan air secukupnya anggaran 2 cawan.
  4. Masukkan cili padi, daun limau purut dan akar ketumbar.
  5. Masukkan juga ayam yang telah dibasuh bersih dan kacau sehingga sebati.
  6. Kemudian, masukkan garam, gula pasir, serbuk perasa dan jus limau nipis. Sesuaikan rasa mengikut selera anda.
  7. Tutup periuk dan biarkan kuah tom yam mereneh.
  8. Setelah itu, masukkan bunga kobis, lobak merah dan tomato. Masak sehingga lembut. Kemudian taburkan daun ketumbar.
  9. Tom yam merah dah pun siap. Selamat mencuba.

Tips Berguna:

  • Blend tomato untuk menjadikan kuah tomyam lebih pekat.
  • Boleh tambahkan sedikit susu sejat (jika suka) sebelum api ditutup setelah selesai memasak.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 − one =