Resepi Kailan Ikan Masin

Resepi Kailan Ikan Masin Sedap dan Mudah

Bagaimanakah cara untuk menyediakan masakan kailan ikan masin? Kailan ikan masin sangat sedap apabila dimakan dengan nasi putih panas beserta telur dadar dan ditambah pula dengan ikan siakap tiga rasa. Wah! Pasti terangkat dan tertarik.

Kali ini penulis ingin mengajak anda untuk sama-sama belajar tentang cara-cara memasak kailan ikan masin. Kebiasaannya, kailan ikan masin selalu dihidang dan dijual di kedai kedai makanan thai. Kailan ikan masin ini sangat popular dan menjadi kegemaran ramai bila berkunjung ke kedai makanan thai. Kailan ikan masin ini sangat sedap dan sangat sesuai dijadikan lauk untuk makan bersama nasi putih.

Pengenalan

Jika selalu kita beli dikedai, apa kata pada kali ini, kita sendiri memasaknya dirumah pula. Masakan kailan ikan masin ini tidaklah rumit bahkan sangat mudah dan cepat untuk disediakan. Bahan-bahannya juga mudah didapati dikedai berdekatan anda. Resepi ini sangat sesuai dimakan bersama nasi putih dan kuah tomyam. Keistimewaan kailan ikan masin ini terletak pada campuran ikan masin yang menambah selera. Ia ditambah dengan kerangupan sayur kailan yang tinggi dengan zat. Anda sudah terliur? Sudah tentu rasa teruja untuk belajar menu yang menyelerakan ini.  Apa lagi? Jom mulakan resepi ini.

Waktu hidangan: 10-15 minit

Jumlah hidangan: 2-3 orang makan

Bahan-Bahan untuk Resepi Kailan Ikan Masin

Bahan-Bahan:

  • 1 ikat sayur kailan
  • 3 ulas bawang putih
  • 4 biji cili padi, ketuk
  • 1 keping kecil isi ikan masin tenggiri
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar minyak
  • garam dan gula, secukup rasa

Cara-Cara memasak Resepi Kailan Ikan Masin

Cara Penyediaan:

  1. Basuh bersih sayur kailan dan rendam sayur kailan didalam air garam atau cuka supaya bersih dan segar. Kemudian toskan.
  2. Kemudian, potong daun memanjang dalam anggaran 1 inchi dan ketepikan.
  3. Batang sayur dipotong halus menyerong dan ketepikan.
  4. Potong isi ikan masin menjadi kecil kecil dan ketepikan.
  5. Hiris halus2 bawang putih dan ketepikan.
  6. Panaskan minyak didalam kuali dan masukkan bawang putih. Tumiskan bawang putih sehingga naik bau yang wangi.
  7. Kemudian masukkan cili padi dan ikan masin. Kacau seketika agar tidak hangus.
  8. Masukkan hirisan batang kailan berserta sos tiram. Kacau seketika
  9. Kemudian masukkan pula daun kailan yang dipotong dan kacau seketika.
  10. Masukkan sedikit air dan kacau seketika.
  11. Biarkan sedikit mengelegak, masukkan garam dan gula secukup rasa.
  12. Biarkan seketika dalam 2-3 minit.
  13. Tutup api. Angkat dan siap dihidangkan.

Tips:

  • Boleh menggunakan ikan masin lain seperti ikan masin kurau.
  • Gunakan air sejuk untuk mendapatkan kerangupan dan kesegaran sayur kailan anda.
  • Boleh lebihkan air sekiranya anda suka kailan ikan masin anda berkuah banyak.
  • Taburkan sedikit bawang goreng di atas hidangan.

Selamat mencuba dan semoga berjaya!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 + two =