Resepi Kerabu Mangga Ala Thai

Resepi Kerabu Mangga Ala Thai Mudah dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan resepi kerabu mangga ala thai yang mudah tapi sedap? Kerabu mangga terdapat pelbagai jenis penyediaan. Kerabu mangga terdiri daripada kerabu ala thai dan kerabu kelantan.

Kerabu manga ala thai hampir sama seperti kerabu betik muda atau lebih dikenali sebagai somtam dan rasanya masam masam manis sinonim dengan rasa masakan thai.

Manakala, kerabu kelantan pula lebih berlemak dengan adanya isi ikan selayang dan santan. Semua itu terpulang kepada selera masing-masing. Bagi pendapat saya, dua-dua pun enak dimakan dan mempunyai rasa dan kelebihan tersendiri. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan kerabu mangga ala thai yang mudah tapi menyelerakan.

Pengenalan

Kerabu sudah menjadi sinonim dengan makanan rakyat Malaysia. Dan terdapat pelbagai jenis kerabu dan juga pelbagai jenis cara penyediaannya. Yang pasti, cara penyediaan kerabu kebanyakkan menyihatkan kerana tidak perlu digoreng.

Maka, tidak hairanlah jikalau kerabu menjadi salah satu menu pilihan buat pengamal makan sihat. Hal ini kerana, kerabu mangga tidak mengandungi minyak. Malah, cara penghasilannya juga sangat mudah tapi sedap. Kerabu mangga sangat sesuai dimakan bersama nasi putih atau diratah begitu sahaja.

Malah, kelebihan kerabu mangga ini adalah mangga sangat mudah untuk didapati kerana pokok mangga ini sesuai ditanam di Malaysia. Mari kita cuba resepi kerabu mangga ala thai seperti di bawah.

Masa Memasak: 30 minit

Jumlah Hidangan: 4 orang

Bahan-bahan Resepi Kerabu Mangga ala Thai

  • 2 biji mangga muda yang telah dikupas kulit dan diparut
  • 1 batang bungan kantan yang telah dihiris
  • 1 biji bawang merah yang telah dihiris
  • 4 tangkai cili padi yang telah dihiris
  • 1 biji tomato yang telah dihiris
  • 2 sudu besar udang kering yang telah dibasuh bersih dan digoreng
  • 2 sudu besar kacang tanah yang digoreng dan ditumbuk kasar (seeloknya dibuang kulit kacang tanah)
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu kecil gula pasir
  • Perahan air limau kasturi (bergantung kepada citarasa masing-masing)
  • Cili besar merah

Cara Penyediaan Resepi Kerabu Mangga Ala Thai

  1. Sediakan mangkuk besar untuk menggaul kerabu mangga ala thai kita. Satukan barang hirisan seperti mangga muda, bunga kantan, bawang merah, cili padi dan tomato ke dalam mangkuk besar yang telah disediakan sebentar tadi. Gaulkan bagi ramuan hirisan sekata.
  2. Seterusnya, masukkan pula udang kering yang telah digoreng, kacang tanah yang telah ditumbuk kasar, sos ikan, gula pasir dan air perahan limau kasturi ke dalam mangkuk besar yang berisi ramuan hirisan tadi. Gaulkan sehingga semua ramuan sekata. Apabila sudah sekata, cuba rasa sama ada kerabu mangga sudah cukup rasa masam manis pedas mengikut citarasa masing-masing atau belum. Jika belum, anda boleh mengolah mengikut kesesuaian citarasa anda.
  3. Akhir sekali, hiaskan kerabu mangga anda dengan cili besar merah agar nampak lebih menyelerakan.
  4. Kerabu mangga kita dah pun siap dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih ataupun diratah begitu sahaja.

Mudah bukan? Selamat mencuba

Resepi Kerabu yang Lain

Kerabu UlamKerabu Udang
Kerabu SotongKerabu Timun
Kerabu DagingKerabu Mangga
Kerabu Pucuk PakuKerabu Maggi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + twenty =