Resepi Kuih Tiram

Resepi Kuih Tiram Yang Mudah Dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk membuat kuih tiram yang sedap dan rangup? Kuih tiram merupakan sejenis kudapan yang rangup dan disaluti gula. Kuih tiram berbentuk seolah-olah seperti cengkerang tiram yang berlapis-lapis. Selain itu, kuih tiram juga menjadi kegemaran ramai terutama kanak-kanak kerana rasanya yang manis disamping rangup.

Pengenalan

Kuih tiram ataupun lebih dikenali dengan nama kuih lidah buaya ini amat popular juga di negeri Sabah dalam kalangan masyarakat melayu Brunei. Ia turut mempunyai nama yang pelbagai, antaranya lidah buaya, sabana, kapal terbang dan macam-macam lagi. Kuih ini senang untuk dibuat dan bahan yang diperlukan juga tidak terlalu rumit. Teksturnya yang rangup dan ditambah dengan rasa manis membuatkan kita kecur lidah apabila memakannya.

Jadi untuk perkongsian untuk hari ini, kami akan kongsikan kepada anda semua dengan resepi kuih tiram yang mudah untuk dicuba oleh anda semua di rumah nanti.

Bahan Bahan untuk Resepi Kuih Tiram

  • Air
  • 3 sudu minyak masak
  • Garam, 1 sudu teh
  • 1/2 kg tepung gandum
  • Gula aising secukupnya (untuk tabur selepas menggoreng)

Bahan bahan lain (untuk layering):

  • Tepung ubi
  • Minyak masak

Cara Penyediaan Resepi Kuih Tiram

  1. Pertama sekali, anda campurkan dahulu tepung gandum, minyak masak dan garam.
  2. Uli adunan hingga berderai
  3. Kemudian, ambil air dan curahkan sedikit demi sedikit. Kemudian sambung uli, tambah air mengikut sukatan doh yang anda buat.
  4. Apabila doh mulai tidak melekat, berhenti tambahkan air.
  5. Uli semula hingga lebih kurang dalam 10 minit, doh yang anda uli akan mempunyai tekstur yang keras sedikit berbanding doh karipap
  6. Apabila selesai menguli doh tadi sehingga lembut, potong/bahagikan doh itu kepada empat bahagian
  7. Kemudian canai doh tadi, sekiranya tidak mahu doh terlalu melekat. Taburkan juga sedikit tepung untuk tidak terlalu melekat.
  8. Asingkan doh yang sudah dicanai, dan kita beralih untuk membuat layer kuih tiram pula.
  9. Ambil tepung ubi dan campurkan bersama sama minyak masak. Kemudian, kacau adunan hingga menjadi likat
  10. Setelah itu, ambil sedikit layer/pes yang sudah anda buat tadi lalu ratakan atas doh yang sudah anda canai tadi
  11. Ratakan betul-betul dan gulung doh itu dengan kemas dan berhati-hati.
  12. Setelah selesai menggulung, anda potongkan kira-kira setengah (1/2 ) inci ataupun mengikut saiz yang anda mahu. Tapi seeloknya saiz yang sedang-sedang sahaja
  13. Apabila sudah siap dipotong, ambil satu bahagian itu dan tekan sedikit dengan jari. Kemudian, canaikan.
  14. Ulang hingga semua potong tadi selesai dicanai nipis
  15. Panaskan minyak dan mula untuk menggoreng.
  16. Apabila sudah mula masak, angkat dan toskan minyak. Biarkan seketika untuk sejuk.
  17. Setelah kuih nampak sejuk, gaulkan dengan gula aising.
  18. Siap untuk dinikmati.

Penambahan dan Tips Ringkas

  • Elakkan menggoreng terlalu lama bagi  mengelakkan kuih menjadi terlalu berminyak dan hangit.
  • Untuk mengekalkan rasa rangup, sejukkan terlebih dahulu kuih sebelum anda simpan di dalam bekas yang kedap udara.

Selamat mencuba resepi ini dan menjamu selera

Jangan lupa amalkan SOP, sampai berjumpa lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − thirteen =