resepi lepat pisang

Resepi Lepat Pisang yang Mudah dan Enak

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan lepat pisang yang enak dan mudah untuk disediakan? Lepat pisang merupakan hidangan minum petang yang sudah menjadi kebiasaan segelintir masyarakat Malaysia terutama sekali masyarakat Melayu.

Ia dihidangkan bersama kopi panas dan ia adalah kategori kuih manis dengan rasa pisang yang manis. Tetapi, lepat pisang juga boleh dijadikan menu sarapan pagi dan sering dijual di pasar pagi atau di gerai-gerai. Kuih ini adalah kuih tradisional yang sangat popular dan digemari oleh pelbagai lapisan umur dan masyarakat.

Teksturnya yang lembut boleh dimakan oleh kanak-kanak mahupun warga emas. Dengan aroma daun pisang yang membaluti lepat pisang berjaya memikat selera sesiapa sahaja. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menyediakan lepat pisang yang enak dan mudah.

Pengenalan

Lepat pisang juga dikenali sebagai lapek pisang yang merupakan kuih tradisional masyarakat Minangkabau . Kuih ini dibaluti dengan daun pisang dan dikukus. Kuih ini dihidangkan pada sarapan pagi mahupun pada minum petang. Ia mudah untuk didapati di pasar mahupun di gerai. Malahan, kuih ini juga sangat mudah untuk disediakan.

Oleh itu, anda juga boleh mencuba untuk menyediakan kuih lepat pisang ini sendiri di rumah. Bahan-bahan yang digunakan juga sangat mudah untuk didapati dan tidak menggunakan bahan yang banyak. Mari kita cuba resepi lepat pisang seperti di bawah.

Masa Memasak: 40 minit

Jumlah Hidangan: 4-5 orang

Bahan-bahan Untuk Resepi Lepat Pisang

  • 2 cawan pisang (telah dilenyek)
  • 1/2 cawan gula pasir (kurangkan jika taknak terlalu manis, lebihkan jika sukakan manis)
  • 5 sudu besar gula merah (untuk warna lepat pisang yang lebih gelap)
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/3 santan kotak
  • 1/3 cawan kelapa parut putih yang telah digaul bersama sedikit garam
  • Daun pisang secukupnya

Cara Penyediaan Resepi Lepat Pisang

  1. Di dalam mangkuk, satukan semua bahan iaitu pisang yang dilenyek, gula pasir, gula merah, tepung gandum, santan dan kelapa parut. Gaulkan sebati semua bahan-bahan tadi. Ketepikan dahulu.
  2. Sementara itu, panaskan air kukusan di dalam periuk pengukus dengan api yang perlahan.
  3. Lap bersih daun pisang dan layurkan di atas api yang perlahan sehingga agak kelayuan.
  4. Letakkan adunan sebanyak anggaran 3 sudu ke atas daun pisang yang telah dilayur. Kemudian gulung terlebih dahulu adunan dengan daun pisang dan lipat dahulu sebelah kiri daun pisang kemudian tekan supaya padat baru dilipat sebelah lagi daun pisang. Lipat dengan kemas.
  5. Susun di dalam loyang pengukus dan kukus selama 30 hingga 35 minit.
  6. Selamat mencuba.

Tips berguna:

  • Untuk rasa lepat pisang yang lebih sedap, boleh gunakan jenis pisang awak-awak.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − 9 =