Bagaimanakah cara untuk memasak rendang daging yang mudah tapi sedap? Mungkin anda sedang mencari artikel berkenaan resepi masakan rendang daging yang mudah dan sedap. Resepi ini sangat sesuai untuk anda yang baru pertama kali ingin cuba untuk memasak rendang daging. Ayuh, mari kita mulakan. Artikel ini akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk memasak rendang daging yang mudah dan sedap.
Pengenalan Resepi Rendang Daging
Rendang daging merupakan juadah wajib dan sinonim pada musim Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha bagi rakyat Malaysia yang menyambutnya. Terdapat pelbagai variasi rendang daging yang ada di Malaysia. Ada yang gemarkan rendang daging yang kering dan ada juga yang sukakan rendang daging dengan sedikit kuah. Rendang daging boleh dimakan bersama nasi impit, pulut kuning, ketupat mahupun lemang.
Oleh itu, rendang merupakan juadah lengkap pada hari raya. Mari kita cuba resepi rendang daging seperti di bawah.
Masa Memasak: 30-45 minit
Jumlah Hidangan: 6 orang
Bahan-bahan Masakan Rendang Daging
Bahan Asas
- 1 kg daging
- 2 senduk minyak masak
- 2 senduk cili kering kisar
- 3 sudu besar rempah kari daging (penyedap rasa-petua dari ibu saya sendiri)
- 200 mL santan kotak
- 2 sudu besar kerisik
- Daun limau purut
- Daun kunyit
- 1-2 keping Asam keping
- Gula melaka dan gula pasir
- Garam dan serbuk perasa
Bahan Kisar
- 3 biji bawang besar (saiz sederhana)
- 4 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 1 inci lengkuas
- 2 inci kunyit hidup
- 3 batang serai
- Cili padi (ikut kepedasan masing-masing, saya letakkan lebih kurang 15 batang kerana kami sekeluarga sukakan rendang daging yang pedas)
Cara – cara memasak:
1. Panaskan kuali terlebih dahulu kemudian masukkan minyak masak.
2. Setelah minyak sudah panas, tumiskan bahan yang telah dikisar sehingga naik bau. Kemudian, masukkan cili kering yang telah dikisar bersama rempah kari. Kembali tumis sehingga bahan kisar tadi terbit minyak. Sentiasa kacau agar bahan tumisan tidak hangit. Bagi mengelakkan ia menjadi pahit.
3. Masukkan daging dan kacau rata daging bersama bahan yang telah dikisar. Tidak perlu tambah air kerana air akan keluar sendiri dari daging. Tunggu sehingga daging separuh masak. Sentiasa kacau supaya daging dapat masak sekata.
4. Seterusnya, masukkan santan beserta sedikit air dan kacau lagi dengan api yang perlahan.
5. Masak sehingga kuah rendang hampir kering. Apabila kuah rendang hampir kering, anda boleh masukkan asam keping, kerisik, daun limau purut dan daun kunyit yang telah dihiris.
6. Akhir sekali, masukkan garam, serbuk perasa, gula melaka dan sedikit gula pasir. Sesuaikan rasa mengikut citarasa masing-masing. Rendang daging kita dah pun siap dan boleh dihidangkan. Mudah bukan?
Tips berguna
- Masak rendang dengan api perlahan supaya daging empuk dan masak dengan sekata walaupun mengambil masa sedikit lama.
- Jenis daging batang pinang lebih lembut. Dan pastikan cara menghiris daging adalah betul iaitu hiris melintang ira daging.
Selamat mencuba.
Resepi Terkenal Di Hari Raya
Resepi Serunding Daging | Resepi Serunding Ayam |
Resepi Lemang | Resepi Rendang Ayam |
Resepi Rendang Daging | Resepi Kuah Kacang |