Resepi rendang ayam

Resepi Rendang Ayam Yang Sedap Dan Lazat

Bagaimanakah cara untuk memasak resepi rendang ayam yang sedap? Sebut sahaja rendang ayam, pasti terimbau dengan kenangan hari raya bersama juadah lemang dan ketupat. Masakan rendang ayam semestinya sinonim dengan hari raya. Selain rendang ayam, ada juga pelbagai rendang lain seperti rendang daging, rendang ayam pencen dan rendang kambing. Walaupun ia selalunya dimasak pada hari raya, namun tidak menjadi masalah jika hendak dihidangkan bersama nasi putih pada hari bukan hari raya.

Pengenalan

Rendang ayam adalah masakan yang diminati ramai. Ia lebih mudah dimasak berbanding rendang yang lain. Keunikan rasa rendang yang mempunyai pelbagai rencah seperti serai, kunyit, lengkuas, daun kunyit dan halia menjadikan hidangan ini amat istimewa dan sentiasa dimasak untuk hari istimewa bagi masyarakat melayu di Malaysia.

Selain itu, rasa kerisik yang didapati dalam masakan rendang juga memberikan rasa lemak dan wangi pada rendang. Cara memasak rendang ayam memerlukan teknik yang betul. Ini kerana isi ayam mudah terlerai jika dimasak terlalu lama dalam kuah rendang. Jadi, pada kali penulis akan berkongsi dengan anda resepi rendang ayam yang sedap dan lazat beserta tips untuk mendapatkan masakan yang sempurna.

Resepi rendang ayam

Bahan Untuk Resepi Rendang Ayam

Bahan asas

  • 1 ekor ayam
  • 1 senduk cili kisar
  • 2 cawan santan segar
  • 2 keping asam keping
  • 3 sudu besar kerisik
  • 1 helai daun kunyit dicarik
  • 3 helai daun limau purut
  • 1 ketul gula melaka
  • garam secukup rasa
  • gula secukup rasa (boleh guna gula perang juga)
  • minyak masak

Bahan-bahan untuk kisar halus:

  1. 1 biji bawang besar
  2. 3 biji bawang merah
  3. 3 ulas bawang putih
  4. 2 inci halia
  5. 2 inci kunyit hidup
  6. 2 inci lengkuas
  7. 2 batang serai
  8. 2 biji buah keras

Cara Memasak Resepi Rendang Ayam

  1. Mula-mula goreng dahulu ayam tanpa disalut apa-apa. Ketepikan.
  2. Dalam kuali besar, panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar halus sehingga naik bau.
  3. Masukkan cili kisar dan tumiskan sehingga pecah minyak. Pastikan bahan tumisan bertukar warna ke sedikit gelap.
  4. Masukkan santan segar dan kacau perlahan-lahan dengan menggunakan api yang sederhana. Kacau hingga sebati.
  5. Masukkan pula asam keping, kerisik dan gula melaka. Kacau perlahan-lahan dengan menggunakan api yang sederhana sehingga kuah menjadi pekat dan mereneh.
  6. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Gaul rata perlahan-lahan.
  7. Masukkan daun kunyit, daun limau purut dan garam secukupnya. Masak sehingga kuah kering dan sedikit gelap serta menyaluti ayam. Tutup api dan siap untuk dihidangkan.

Tips Masakan:

  • Beberapa kaedah untuk mengelakkan isi ayam hancur: anda boleh angkat ayam terlebih dahulu setelah ia telah masak dan teruskan masak kuah rendang sehingga pekat dan kemudian masukkan semula ayam tersebut. Atau anda juga boleh menggoreng ayam terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kuah rendang.
  • Gunakan santan segar lebih sedap. Jika tiada boleh guna 2 santan kotak kecil.
  • Untuk kepedasan rendang pilih cili kering mengikut tahap kepedasan yang anda inginkan.

Selamat Mencuba

Resepi Terkenal Di Hari Raya

Resepi Serunding DagingResepi Serunding Ayam
Resepi LemangResepi Rendang Ayam
Resepi Rendang DagingResepi Kuah Kacang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × one =