Resepi Lemang

Resepi Lemang yang Berlemak dan Sedap

Bagaimanakah cara untuk menghasilkan lemang yang berlemak dan sedap untuk disediakan? Lemang merupakan kata pinjaman daripada bahasa Minangkabau iaitu lamang yang bermaksud beras pulut yang dimasak kebiasaannya menggunakan teknik panggang di atas api bersama santan yang telah dicampur dengan garam untuk memberikan rasa yang lebih berlemak dan diletakkan dalam buluh yang telah dilapik dengan daun pisang.

Untuk memasak lemang ini memerlukan batang buluh yang terpilih iaitu dari segi umurnya yang tidak terlalu tua kerana nanti terlalu keras dan juga tidak terlalu muda kerana nanti ia akan retak. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan lemang yang berlemak dan sedap.

Pengenalan

Lemang merupakan salah satu menu utama tradisional yang wajib dihidangkan pada musim perayaan Aidilfitri dan juga Aidiladha. Lemang juga kebiasaannya dihidangkan bersama serunding dan juga rendang. Selain itu, lemang yang sedap adalah lemang yang berlemak dan mempunyai santan yang banyak. Agak rumit sebenarnya untuk menghasilkan lemang sendiri kerana mengambil masa yang lama untuk masak tetapi sangat berpuas hati dengan rasanya yang berlemak. Ini kerana jika anda hasilkan sendiri, anda boleh menambahkan santan mengikut citarasa anda sendiri. Oleh itu, anda boleh cuba untuk menghasilkannya di rumah. Mari kita cuba resepi lemang yang berlemak dan sedap.

Masa Memasak: 2 jam

Jumlah Hidangan: 5-6 orang

Bahan-Bahan untuk Resepi Lemang

  • 3 kg beras pulut (direndam untuk selama dua jam)
  • 5-6 biji kelapa (diambil santannya)
  • Garam secukup rasa
  • Daun pisang secukupnya
  • Batang buluh anggaran 11-15 batang

Cara- Cara memasak Resepi Lemang

1. Mula-mula, sejatkan atau toskan beras pulut yang telah direndam selama dua jam tadi.

2. Kemudian, bersihkan batang buluh dan masukkan daun pisang yang bersih secara gulungan ke dalam batang buluh tersebut.

3. Tuangkan beras pulut sedikit demi sedikit dan jangan isikan sampai penuh. Tinggalkan sedikit ruang anggaran 2 inci dan ulang langkah ini sehingga beras pulut habis. Pastikan anda hentakkan sedikit buluh tersebut ketika memasukkan beras pulut agar lemang kita menjadi padat apabila sudah masak.

4. Kemudian, campurkan santan bersama sedikit garam untuk menaikkan rasa berlemak. Tapiskan santan dan jangan ambil bahagian bawah santan kerana nanti lemang kita akan berwarna sedikit kehitaman. 

5. Selepas itu, masukkan santan yang telah dicampur dengan garam tadi ke dalam beras pulut yang telah diisi ke dalam buluh sehingga penuh.

6. Kemudian, batang buluh yang telah dimasukkan beras pulut dan santan tadi akan diletakkan separuh condong di atas api yang sederhana kuat.

7. Pastikan anda sentiasa pusing-pusingkan batang buluh untuk setiap 15 minit supaya lemang dimasak dengan sekata dan tidak berkerak. Anda juga perlu sentiasa menjaga api agar tidak terlalu kuat.

8. Anda perlu sentiasa memantau lemang anda untuk 10 minit yang awal di mana jika anda dapati lemang agak kering, anda boleh tambahkan sedikit santan.

9. Masak sehingga lemang anda masak dengan kawalan api dan sentiasa pusing-pusingkan lemang anda.

10. Selamat mencuba.

Resepi Terkenal Di Hari Raya

Resepi Serunding DagingResepi Serunding Ayam
Resepi LemangResepi Rendang Ayam
Resepi Rendang DagingResepi Kuah Kacang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fifteen − 8 =