Bagaimanakah cara untuk membuat resepi kek coklat moist yang sedap? Kek coklat moist menjadi pilihan ramai kerana keenakannya yang tak terkata. Kek coklat menjadi moist apabila kek yang dihasilkan tersebut mempunyai tekstur lembab, sedikit basah dan kaya dengan coklat. Kelazatannya makin bertambah apabila kek coklat dilimpahi dengan coklat cair.
Pengenalan
Kek coklat moist merupakan kek coklat yang mempunyai tekstur lebih lembut dan basah berbanding kek coklat biasa. Selalunya, untuk mendapatkan tekstur moist tersebut, kek coklat moist dihasilkan dengan menggunakan teknik pengukusan. Selain itu, kek coklat moist juga sering dihidangkan dengan kuah coklat cair yang dituangkan ke atas kek tersebut. Ini membuatkan kek tersebut lebih sedap dan penuh dengan coklat. Untuk kali ini, penulis akan kongsikan resepi kek coklat moist bersama kuah coklat cair atau coklat topping. Anda boleh mencuba untuk menghasilkan kek coklat moist ini di rumah. Selamat mencuba!
Bahan-Bahan Untuk Resepi Kek Coklat Moist
Bahan A
- 1 cawan serbuk koko
- 1 cawan gula kastor
- 1 cawan minyak masak
- 1 cawan susu cair
- Setengah cawan susu pekat manis
Bahan B
- 1 cawan tepung gandum
- 1 sudu kecil baking powder
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
Bahan C
- 3 biji telur
- 1 sudu kecil esen vanilla
Cara-Cara Untuk Memasak Resepi Kek Coklat Moist
- Semua bahan-bahan A dicampurkan bersama dan dimasak di atas api yang kecil sehingga sebati dan larut. Ketepikan.
- Untuk bahan-bahan B, campurkan kesemuanya dan ayak. Ketepikan.
- Bagi bahan-bahan C pula, campurkan dan pukul sehingga kembang dan menjadi putih. Anda boleh gunakan blender. Ketepikan.
- Masukkan bahan A ke dalam bahan B dan selepas itu masukkan bahan C. Pukul adunan sehingga sebati dan pastikan tiada ketulan tepung.
- Masukkan adunan kek ke dalam loyang kek atau anda boleh gunakan bekas-bekas kecil / acuan lompang. Griskan bekas dengan sedikit butter atau minyak.
- Panaskan pengukus terlebih dahulu. Kemudian, kukus adunan kek selama 40 minit jika menggunakan loyang kek atau 15 minit jika menggunakan bekas kecil.
Resepi Coklat Cair Untuk Topping
- 1 cawan serbuk koko
- 1 cawan susu pekat manis
- Setengah cawan susu cair
- 1 cawan minyak masak
Campurkan semua bahan-bahan di atas dan masak dengan menggunakan teknik double boiler. Setelah itu, tunggu dahulu topping menjadi sejuk sedikit atau suam. Kemudian, sedia untuk dituang di atas kek coklat moist yang sudah masak tadi.
Tips Berguna:
Gunakan lidi untuk memeriksa kek sama ada sudah masak atau belum.
Boleh taburkan coklat urai atau coklat chip di atas kek yang sudah disiram dengan coklat cair topping.
Resepi Kek Yang Lain