Bagaimanakah cara untuk menghasilkan resepi kerabu maggi yang mudah tapi sedap? Kerabu maggi terdapat pelbagai variasi penyediaannya. Anda boleh menggunakan maggi siam mahupun maggi tomyam. Semua itu terpulang kepada selera masing-masing dan jika ada stok. Maggi siam sekarang semakin mudah untuk didapati terutama sekali di Shopee. Dalam artikel ini akan berkongsi kepada anda tentang cara-cara untuk menghasilkan kerabu maggi yang mudah tapi sedap ala Thai.
Pengenalan
Kerabu maggi sangat terkenal di Thailand dan hidangan ini juga sudah menjadi semakin popular di Malaysia sejak ia diperkenalkan di Pesta Makanan Thai. Hal ini kerana rasanya yang pedas dan masam yang sangat serasi dengan selera rakyat di Malaysia. Kerabu maggi merupakan suatu makanan yang dihasilkan daripada gabungan pelbagai jenis sayuran, makanan laut dan juga maggi yang digaulkan sekali. Malah, cara penyediaannya juga sangat mudah dan menyelerakan. Kerabu maggi sesuai diratah begitu sahaja.
Oleh itu, kerabu maggi boleh dimasak pada bila-bila masa sahaja memandangkan ia merupakan hidangan yang ringkas dan sedap. Sesuai juga dijadikan sebagai hidangan ringan pada waktu petang yang santai. Mari kita cuba resepi kerabu maggi seperti di bawah.
Masa Memasak: 30 minit
Jumlah Hidangan: 2 orang
Bahan-bahan Masakan Resepi Kerabu Maggi
Bahan-bahan asas:
- 2 bungkus maggi siam atau maggi tomyam
- 5 tangkai cili padi hijau yang dihiris (bergantung kepada tahap kepedasan masing-masing)
- 1-2 tangkai cili api merah yang dihiris (bergantung kepada tahap kepedasan masing-masing)
- 1 biji bawang besar bersaiz sederhana
- 1 biji tomato bersaiz sederhana
- Sedikit daun ketumbar
- Setengah biji lobak merah yang disagat halus
- 1 paket rempah maggi (yang ada di dalam paket maggi, 1 sahaja yang digunakan)
- 1 sudu besar sos ikan (bergantung kepada citarasa masing-masing)
- 1 sudu besar air asam limau (bergantung kepada citarasa masing-masing)
- Sedikit air (untuk mencelur maggi dan lauk)
Bahan-bahan lauk:
- Sotong yang telah dibersihkan dan dipotong
- Udang yang telah dikupas kulit
- Stik ketam
- Pilihan (sosej, bebola ikan)
Cara Penyediaan Resepi Kerabu Maggi
- Panaskan air dalam periuk sehingga mendidih. Kemudian, masukkan udang ke dalam air yang tengah mendidih sehingga udang sudah merengkot berbentuk ‘C’ lalu boleh diangkat dan masukkan ke dalam mangkuk besar. Kemudian, rebus pula sotong di dalam air didihan yang sama sehingga masak dan diangkat masuk ke dalam mangkuk yang sama lalu diikuti dengan merebus stik ketam pula.
- Seterusnya, masukkan pula maggi ke dalam air yang tengah mendidih tadi sehingga maggi lembut dan angkat untuk dimasukkan ke dalam mangkuk yang sama.
- Setelah itu, di dalam mangkuk yang sama berisi udang, sotong, stik ketam dan maggi yang telah direbus, masukkan 1 paket rempah maggi, sos ikan, air asam limau dan 1 senduk air rebusan tadi.
- Seterusnya, masukkan pulak hirisan cili padi hijau, cili api merah, tomato, bawang besar, daun ketumbar dan lobak merah ke dalam mangkuk yang sama. Kemudian, gaulkan bahan-bahan tersebut bagi sekata dan mesra. Sesuaikan rasa mengikut selera anda.
- Dah siap dan boleh dihidangkan.
- Mudah bukan? Selamat mencuba
Tips berguna
- Gaulkan dulu kerabu maggi tanpa meletakkan sos ikan dan asam limau kerana rempah maggi sudah mempunyai rasa masam, masin dan pedas. Jika perlu lebih masam atau masin baru tambahkan sos ikan dan asam limau mengikut citarasa masing-masing.
Resepi Kerabu yang Lain
Kerabu Ulam | Kerabu Udang |
Kerabu Sotong | Kerabu Timun |
Kerabu Daging | Kerabu Mangga |
Kerabu Pucuk Paku | Kerabu Maggi |