Anda tiada idea nak masak apa hari ini? Nak cuba masak hidangan yang ringkas? Artikel kali ini akan kami bincangkan cara mudah dan cepat untuk menyediakan resepi nasi goreng kampung yang anda boleh lakukan di rumah pada bila bila masa sahaja.
Pengenalan Nasi Goreng Kampung
Sebut sahaja tentang masakan yang berasaskan nasi, sudah tentu nama nasi goreng kampung akan segera timbul dalam fikiran rakyat Malaysia. Nasi hangat dengan rasa pedas pedas yang penuh rencah ditambah dengan garing ikan bilis dan telur mata, itu sudah cukup membuatkan kita terliur kan?
Jadi mari kita cuba buat dengan resepi yang telah kami sediakan di sini.
Masa untuk Memasak : 20 – 25 minit
Jumlah Hidangan : 4 orang
Bahan bahan Masakan Nasi Goreng Kampung :
Bahan Asas
- 6 senduk nasi putih untuk hidangan 4 orang. Kurangkan kuantiti kepada 3 senduk nasi putih sekiranya untuk hidangan 2 orang makan.
- Sayur kangkung(boleh diganti dengan sayuran lain yang sesuai sekiranya tiada kangkung)
- 2 biji telur ayam
- 1 mangkuk kecil ikan bilis (yang sudah dikopek)
- 1 mangkuk isi ayam
Bahan Tumisan(yang sudah ditumbuk)
- 3 biji bawang merah
- 8 ulas bawang putih
- Minyak untuk menumis
- 15- 20 biji cili padi
- 1-2cm belacan bakar
Bahan perasa
- 2 sudu teh Garam
- 4 sudu Sos Tiram
Bahan Hiasan (Tambahan)
- Bawang goreng
- Hirisan cili merah
Cara cara memasak :
- Tumbuk bahan tumisan dan asingkan di tepi.
- Goreng ikan bilis dan asingkan dahulu.
- Tumis bahan tumisan – bawang merah, bawang putih, belacan bakar, cili yang sudah di tumbuk tadi.
- Setelah sudah nampak garing dan naik bau, masukkan isi ayam dan gaulkan bersama sehingga sebati. Guna api kecil.
- Masukkan sayur dan gaulkan sehingga sebati dengan menggunakan api sederhana dalam masa 2-4 minit.
- Kemudian, masukkan telur dan gaulkan semuanya hingga sebati. Tambahkan 3-4 sudu sos tiram dan 2 sudu teh garam. Gaul semula dengan menggunakan api sederhana selama 2-4 minit.
- Bila sayur tadi mulai masak layu, masukkan nasi dan gaul dengan menggunakan api besar. Kacau selama 4-5 minit. Ambil ikan bilis yang sudah digoreng tadi dan campurkan sekali.
- Tutup api dan hidangan siap.
*Sebagai tambahan, anda boleh hias dengan bawang goreng dan hirisan cili merah. Semuanya mengikut citarasa anda untuk hidangan nampak lebih menarik
Penambahan dan Tips Ringkas
- Selain isi ayam, anda juga boleh guna udang, sotong, daging sebagai ganti. Ini bergantung kepada selera masing masing.
- Telur mata juga boleh digoreng untuk menambah kesedapan dalam masakan anda.
- Elakkan masak bahan bahan tadi dengan menggunakan api besar, supaya bahan tidak hangit di bawah.
Selamat mencuba resepi nasi goreng kampung kami!
Jangan lupa amalkan SOP, sampai berjumpa lagi.
Resepi Nasi Goreng Yang lain
Nasi Goreng Pattaya | Nasi Goreng USA |
Nasi Goreng Thai | Nasi Goreng Tomyam |
Nasi Goreng Ayam | Nasi Goreng Cendawan |
Nasi Goreng Daging Merah | Nasi Goreng Kampung |