Bagaimanakah cara untuk memasak nasi goreng lada kering yang sedap? Antara jenis nasi goreng yang pedas, mantap dan sedap yang perlu anda cuba adalah nasi goreng lada kering. Selain nasi goreng ini, jenis nasi goreng yang lazat dan menjadi kesukaan ramai adalah nasi goreng kampung, nasi goreng belacan, nasi goreng tomyam dan nasi goreng ikan masin.
Pengenalan
Bagi peminat cabai, nasi goreng yang pedas-pedas sudah tentu tiada istilah bosan untuk memasaknya berkali-kali. Nasi goreng lada kering merupakan nasi goreng yang mesti anda perlu tahu cara memasaknya jika anda sukakan rasa pedas. Namun, nasi goreng ini tidak sesuai jika dihidangkan untuk kanak-kanak. Selain rasa pedas, nasi goreng ini juga menggabungkan rasa sedap belacan di dalamnya. Ini membuatkan nasi goreng ini bertambah enak. Mari kita cuba memasak resepi nasi goreng lada kering yang istimewa ini di rumah.
Bahan-Bahan Untuk Memasak Resepi Nasi Goreng Lada Kering
- 5 senduk nasi putih
- 3 inci belacan *
- 5 batang cili kering (dibuang bijinya) *
- 3 biji bawang merah *
- 2 ulas bawang putih *
- 1 sudu besar ikan bilis * (nak lebih sikit pun boleh)
- 2 biji telur
- 5 batang kacang panjang (dipotong 1cm)
- Garam secukupnya
Cara-Cara Memasak Resepi Nasi Goreng Lada Kering
- Tumbuk semua bahan-bahan bertanda * sehingga lumat dengan menggunakan lesung batu.
- Panaskan minyak masak (anggaran lebih daripada kuantiti bahan yang ditumbuk) dalam kuali.
- Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi sehingga naik bau dan menjadi sedikit garing.
- Kemudian, masukkan telur di tengah-tengah bahan tumisan, telur tidak perlu dipukul. Biarkan telur masak sehingga garing, kemudian barulah kacau rata bersama tumisan.
- Kemudian masukkan kacang panjang, nasi putih dan sedikit garam. Kecilkan api dan gaul rata kesemuanya.
- Rasa sedikit nasi, jika tawar boleh tambahkan lagi garam mengikut selera. Boleh juga tambahkan serbuk perasa.
- Tutup api dan siap untuk dihidangkan.
Tips Masakan:
- Pastikan menggunakan belacan dan ikan bilis yang segar untuk rasa lebih sedap.
- Boleh juga tambahkan sedikit ikan masin dalam bahan-bahan yang ditumbuk.
- Boleh gantikan sayur kacang panjang dengan lobak merah, kailan, atau kangkung.
- Pastikan nasi dimasak semalaman untuk tekstur nasi yang lebih cantik.
Resepi Pelbagai Nasi Goreng
Nasi Goreng Belacan | Nasi Goreng USA |
Nasi Goreng Thai | Nasi Goreng Tomyam |
Nasi Goreng Ayam | Nasi Goreng Cendawan |
Nasi Goreng Daging Merah | Nasi Goreng Kampung |