Bagaimanakah cara untuk membuat resepi kari sotong? Kari sotong merupakan hidangan yang sering didapati di restoran mamak. Selalunya hidangan yang enak ini dijual bersama dengan hidangan-hidangan lauk yang lain untuk menu nasi kandar. Istimewanya kari sotong ala mamak ini adalah kelazatan kuah karinya yang pekat dan dilengkapi rasa rempah yang menyelerakan.
Pengenalan
Resepi kali ini penulis akan kongsikan resepi kari sotong ala mamak. Kenapa ala mamak pula? Sebab kari mamak tiada santan, pekat dan mempunyai aroma rempah yang lazat. Kari sotong ini selalu didapati di kedai kedai mamak dan ia dimakan bersama nasi beriani, nasi putih atau pun dengan roti paratha. Namun, harga kari sotong ini agak mahal. Kalau hendak makan sekali sekala tu boleh lah juga kan. Jika selalu, boleh kering poket dibuatnya. Jadi, apa kata kita cuba buat resepi ini sendiri pula. Selain boleh menjamu keluarga, nak makan banyak mana pun boleh ikut selera masing-masing. Jom! Kita mulakan. Semoga anda berjaya.
Masa persediaan: 20 minit
Masa memasak: 30 minit
Jumlah hidangan: 5-6 orang
Bahan-Bahan Untuk Resepi Kari Sotong
- 6 Ekor sotong saiz sederhana (ikut selera masing-masing)
- 1 sudu makan halba campur
- 2 tangkai daun kari
- 5 ulas bawang merah (dikisar halus)
- 2 ulas bawang putih (dikisar halus)
- 1 biji bawang besar (dihiris)
- 2 sudu makan rempah kari ikan
- 1/2 sudu makan serbuk cili
- Garam secukup rasa
- Perasa secukup rasa
- 2 keping asam keping
- Sedikit cili hijau dan merah
- Air secukupnya
Cara-caranya:
- Siang sotong dan bilaskan dengan air bersih. Kemudian toskan airnya.
- Kisar hancur bawang besar dan ketepikan.
- Hiris halus cili hijau dan cili merah. ketepikan
- Panaskan kuali dan masukkan minyak sedikit. Bila minyak dah panas, masukkan halba campur dan daun kari. Tumiskan sehingga naik bau wangi. Kacau tumisan supaya tidak hangus.
- Masukkan pula bahan kisar, hirisan bawang besar dan tumis sehingga naik bau. Sentiasa kacau supaya bahan tumisan tidak hangus.
- Masukkan serbuk kari ikan dan serbuk cili yang telah dicampur dengan air sedikit. Kacau sekata agar tumisan sebati dan pecah minyak.
- Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Biarkan ia mereneh.
- Masukkan garam, perasa dan asam keping. Kemudian kacau lagi agar kuah kari sekata rasanya.
- Selepas itu, barulah masukkan sotong ke dalam kuah kari anda. Kacau perlahan supaya sotong anda diseliputi kari dan tidak hancur.
- Masukkan cili yang telah dihiris dan biarkan seketika.
- Tutup api dan angkat.
- Sedia untuk dihidangkan.
Tips:
- Anda boleh menggunakan air asam jawa pengganti asam keping sekiranya anda tiada asam keping dirumah.
- Anda boleh lebihkan serbuk cili sekiranya ingin menambah kepedasan.
- Makan bersama roti prata, nasi putih, nasi beriani atau roti putih.
- Anda boleh olah kepekatan kuahnya mengikut citarasa anda. Lagi pekat lagi sedap.
Selamat mencuba!
Pelbagai Resepi Sotong Lain