Resepi Biskut Butter

Resepi Biskut Butter Lembut dan Wangi

Bagaimanakah cara untuk membuat biskut butter yang lembut dan wangi? Pernahkah anda menikmati biskut butter original resepi Denmark yang dijual dalam bekas tin? Biskut tersebut adalah biskut kegemaran ramai dan agak sedikit mahal. Namun terdapat juga jenama biskut butter yang lain yang lebih murah harganya. Akan tetapi aroma dan kelembutan biskut butter yang lain tidak dapat menandingi biskut butter original. Apabila dibuka sahaja penutup bekas, bau wangi butter akan menyebabkan kita lekas mengambilnya untuk dinikmati. Biskut butter juga boleh dijadikan biskut yang dihidangkan semasa hari perayaan selain biskut-biskut raya yang lain.

Pengenalan

Pembuatan biskut butter adalah lebih mudah berbanding biskut-biskut raya yang lain. Apa yang utama dalam pembuatan biskut butter ini adalah jenis butter yang digunakan. Ia digabung bersama perisa vanila yang dapat membangkitkan selera anda. Oleh itu, pastikan anda menggunakan butter asli dan bukan yang diperbuat daripada minyak sayuran seperti majerin, planta dan sebagainya. Ini kerana jika anda tidak menggunakan butter asli, anda mungkin tidak dapat merasai aroma wangi butter dalam biskut anda.

Kesedapan dan aroma yang mengancam dalam penghasilan biskut butter pasti akan memikat orang yang menikmatinya. Hasilnya, sudah tentu anda akan cuba membuatnya sekali lagi! Apa lagi, jom kita pelajari cara-cara untuk membuat biskut butter yang lembut dan beraroma ini.

Masa Hidangan: 20-30 minit

Jumlah hidangan: 60-70 biji

Bahan-Bahan untuk Membuat Resepi Biskut Butter

Bahan-bahan:

  • 125 gm mentega / butter asli
  • 45 gm gula aising
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1 biji kuning telur
  • 140 gm tepung gandum
  • 2 sb tepung jagung
  • 1/4 sk serbuk penaik

Cara-Cara untuk Membuat Resepi Biskut Butter

Cara-cara :

  1. Masukkan mentega dan gula aising ke dalam bekas bulat. Pukul dua adunan tu sehingga kembang dan sebati. Pastikan adunan ini menjadi gebu dan bertukar warna putih.
  2. Kemudian masukkan esen vanilla dan pukul lagi.
  3. Masukkan pula kuning telur dan pukul sehigga sekata. Ketepikan seketika.
  4. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan serbuk penaik didalam bekas yang lain.
  5. Kemudian masukkan ke dalam adunan mentega tadi. Uli adunan sehingga sekata dan sebati.
  6. Rehatkan dalam 15 minit adunan tadi.
  7. Selepas itu, masukkan adunan tadi kedalam piping bag dan pipe kan mengikut bentuk kesukaan anda ke atas tray. Buat sampai habis adunan.
  8. Masukkan ke dalam oven dan bakar dengan suhu 150°C selama 20-25 minit.
  9. Keluarkan dari oven dan sejukkan seketika.
  10. Kemudian bolehlah simpan didalam bekas kedap udara.

Tips Berguna:

  • Pastikan menggunakan butter asli dan bukan majerin atau minyak sayuran lain.
  • Pastikan mentega dan telur anda berada pada suhu bilik.
  • Anda juga boleh menambahkan hiasan diatas biskut anda dengan badam ataupun hiasan lain yang bersesuaian.
  • Simpan di dalam bekas kedap udara agar biskut anda tidak lemau dan rosak.
  • Anda boleh melaras sendiri masa pembakaran biskut anda. Mungkin anda juga boleh membakar biskut sehingga ia bertukar keperangan untuk rasa lebih rangup.

Selamat mencuba semua!

Resepi Kuih Raya Lain:

Resepi Biskut Red VelvetResepi Kuih Almond London
Resepi Biskut CornflakesResepi Kuih Semperit
Resepi Tart NenasResepi Biskut Mazola
Resepi Biskut FlorentineResepi Biskut Snow Almond
Resepi Biskut MakmurResepi Biskut Arab

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × two =