Bagaimanakah cara untuk menghasilkan biskut mazola yang sedap dan berlemak untuk disediakan? Biskut mazola merupakan sejenis biskut raya tradisional yang popular pada musim perayaan Aidilfitri dan juga musim perayaan yang lain. Biskut mazola ini juga sering dijual di pasaraya walaupun bukan pada musim perayaan.
Biskut mazola adalah sejenis biskut yang mempunyai bahan asas seperti kacang hancur yang menjadi rasa biskut ini lebih berlemak. Dalam artikel ini saya akan berkongsi dengan anda tentang cara-cara untuk menghasilkan biskut mazola yang sedap dan berlemak.
Pengenalan
Biskut mazola sentiasa menjadi biskut raya kegemaran semua lapisan umur terutama sekali orang dewasa kerana biskut ini mempunya rasa lemak masin. Apa yang istimewa bagi biskut mazola adalah penggunaan minyak mazola dalam pembuatannya. Sebab itulah biskut mazola adalah tidak sama dengan biskut kacang tanah biasa. Cara penyediaannya juga amat mudah dan hanya menggunakan bahan yang asas. Bahan asas tersebut pula amat mudah untuk didapati sama ada di pasar ataupun pasaraya.
Bahan yang digunakan juga hanyalah 6 bahan asas yang sering kita jadikan stok di dapur rumah. Oleh itu, anda boleh cuba untuk menghasilkannya sendiri di rumah. Selain dimakan pada musim perayaan untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung, malah kita juga boleh jadikan biskut mazola ini sebagai biskut kudapan di rumah. Mari kita cuba resepi biskut mazola yang sedap dan berlemak ini.
Masa Memasak: 60 minit
Jumlah Hidangan: 5-6 orang
Bahan-Bahan untuk Resepi Biskut Mazola
- 2 cawan kacang tanah kisar (goreng kacang tanah tanpa minyak lalu dikisar halus ataupun anda boleh dapatkan di pasaraya kacang tanah kisar).
- 2 1/2 cawan tepung gandum (ayak)
- 1 cawan minyak mazola
- 1/2 cawan gula aising (dikisar dan ayak)
- 1/2 sudu besar garam halus
- Kacang untuk hiasan
- Kuning telur untuk hiasan
Cara- Cara membuat Resepi Biskut Mazola
- Mula-mula sekali, ayakkan tepung gandum dan gula aising.
- Di dalam mangkuk, masukkan kacang tanah kisar, gula aising, garam dan tepung gandum. Kacau sebati menggunakan spatula.
- Kemudian, masukkan minyak mazola sedikit demi sedikit sambil uli sehingga sebati dan sekata.
- Selepas itu, bentukkan doh mengikut bentuk kesukaan anda. Sama ada berbentuk bulat, bunga dan sebagainya menggunakan acuan terap berbentuk.
- Sementara itu, panaskan ketuhar pada suhu 150 darjah celcius.
- Susun kuih yang telah dibentuk ke atas dulang pembakar yang telah disapu dengan mentega agar biskut tidak melekat pada dulang pembakar.
- Apabila semua doh sudah siap dibentuk dan disusun di atas dulang pembakar, hiaskan dengan menyapukan permukaan biskut dengan kuning telur dan susunkan kacang tanah di atas doh. Selepas itu, bakar doh pada suhu 150 darjah celcius lebih kurang 15 minit atau sehingga masak.
- Apabila biskut sudah siap dibakar, angkat biskut dan sejukkan untuk seketika.
- Kemudian, boleh susunkan biskut ke dalam balang kuih kedap udara untuk dihidangkan kepada tetamu.
- Selamat mencuba resepi ini.
Resepi Kuih Raya Lain: